KUALA LUMPUR – Chai Jin Shern atau juga dikenali sebagai James Chai mengesahkan akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan perjanjian dengan Arm Holdings.
James yang juga bekas pembantu bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, peguam-peguam beliau akan menghubung SPRM untuk menjadualkan sesi rakaman kenyataan seperti yang dikehendaki suruhanjaya itu.
“Sejak Notis Kesan Individu untuk saya telah diterbitkan pada 4 Mac 2026, saya telah menunggu notis rasmi daripada SPRM untuk disampaikan kepada saya supaya untuk menjadualkan sesi untuk saya memberikan kenyataan yang diperlukan bagi siasatan penuh kes yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Menurut James, beliau mengetahui niat SPRM untuk merakam kenyataannya adalah selepas Notis Kesan Individu dikeluarkan pada 4 Mac lalu.
ARTIKEL BERKAITAN
Sejak itu, beliau telah melantik dua orang peguam berpengalaman yang akan membantu saya berhubung dengan SPRM dan perkara-perkara lain dalam kes ini.
Sehubungan katanya, beliau telah menyerahkan emel Mohd Hafidz Abdul Halim (seperti yang terdapat pada Notis Kesan Individu bertarikh 4 Mac 2026) dan nombor telefon pegawai penyiasat yang terdapat dalam kenyataan rasmi SPRM hari ini kepada peguamnya.
Merujuk kepada kenyataan SPRM pada semalam dan hari ini berhubung penyampaian notis tersebut, James berkata telah menerima dua mesej WhatsApp berasingan daripada nombor-nombor yang mewakili SPRM dengan nama pengguna ‘~Radio’ dan ‘~ﻋﻠﻲ ﻣﺤﻤﺪ, semalam pada jam 11.50 malam waktu Malaysia.
Mesej tersebut katanya, meminta beliau memberi keterangan di SPRM dan merupakan mesej pertama kali yang diterima beliau daripada mana-mana saluran yang mewakili SPRM.
Sebelum ini katanya, beliau tidak menerima sebarang bentuk komunikasi dengan sebutan jelas tentang SPRM mahupun sebarang bentuk notis rasmi.
“Adalah kebiasaan untuk saya menyekat banyak nombor yang mencurigakan atau tidak diketahui, dengan nama-nama pengguna seperti ‘~Ghuuu’, ‘Lii Ya’, ‘~Muhmmad Alif Z ❤❤’, ‘~Mryana Zaa’ dan sebagainya memandangkan kejadian penipuan siber (cyber fraud and scams) yang tinggi di Malaysia, terutamanya yang melibatkan penipu yang menyamar sebagai pihak berkuasa,” katanya lagi.
Terdahulu, SPRM dalam satu kenyataan petang tadi menggesa James untuk pulang ke Malaysia dan segera hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Katanya, walaupun beberapa percubaan telah dibuat oleh pegawai penyiasat SPRM untuk menghubungi beliau, James Chai sehingga kini masih belum memberikan sebarang respons atau membuat pengaturan untuk tampil membantu siasatan.
“Sekiranya James Chai berpendirian bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, tindakan yang sewajarnya adalah tampil memberi kerjasama kepada pegawai penyiasat SPRM, bukannya mengeluarkan pelbagai alasan di media massa sambil mengelakkan diri daripada berurusan secara langsung dengan proses siasatan,” kata SPRM. -MalaysiaGazette
















