KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa Chai Jin Shern atau James Chai yang dikenal pasti sebagai individu yang dikehendaki untuk segera hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Suruhanjaya itu dalam kenyataan berkata, walaupun beberapa percubaan telah dibuat oleh pegawai penyiasat SPRM untuk menghubungi beliau, James Chai sehingga kini masih belum memberikan sebarang respons atau membuat pengaturan untuk tampil membantu siasatan.
“Sekiranya James Chai berpendirian bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, tindakan yang sewajarnya adalah tampil memberi kerjasama kepada pegawai penyiasat SPRM, bukannya mengeluarkan pelbagai alasan di media massa sambil mengelakkan diri daripada berurusan secara langsung dengan proses siasatan,” kata SPRM
Justeru itu, beliau diminta untuk segera menghubungi mana-mana pegawai penyiasat berikut tanpa berlengah bagi membincangkan pengaturan kepulangan beliau ke Malaysia untuk rakaman percakapan:
• Abdullah Sani A. Latib – +6018-286 8684
• Mohd Hafidz Halim – +60 17-504 6503
• Ahmad Rizal Samat – +60 13-433 4500
• Farahani Fauzi – +60 11-3343 5523
• Mohamed Ali M. Ahamed Ali – +60 17-300 3699
SPRM menegaskan bahawa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa penguatkuasaan adalah tanggungjawab asas setiap warganegara apabila diperlukan untuk membantu sesuatu siasatan.
Katanya, penjelasan melalui naratif awam dan kenyataan media tidak boleh menggantikan proses perundangan dalam siasatan kes.
Justeru, SPRM menggesa James Chai untuk segera menghubungi pegawai penyiasat dan memaklumkan perancangan beliau untuk pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
SPRM sekali lagi menegaskan bahawa semua siasatan dijalankan secara profesional, bebas dan berasaskan bukti, serta tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang. -MalaysiaGazette















