KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan percubaan kerajaan menyalahkan pembangkang berhubung kegagalan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sebagai tindakan “kebudak-budakan” dan tidak bertanggungjawab.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang mendakwa kegagalan tersebut berpunca daripada “salah faham” dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang adalah tersasar daripada isu sebenar.
Menurut beliau, kegagalan tersebut sebenarnya berpunca daripada ketidakmampuan kerajaan memastikan kehadiran dan sokongan Ahli Parlimennya sendiri ketika sesi pengundian yang memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
“Percubaan lemah untuk mengheret dan mengalihkan kesalahan kepada pihak pembangkang bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah menyerlahkan sifat kebudak-budakan dan pemalas kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Takiyuddin menjelaskan bahawa sepanjang sesi perbahasan Parlimen, Ahli Parlimen pembangkang telah berulang kali menegaskan bahawa cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri perlu diteliti secara menyeluruh dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, perkara itu termasuk mengambil kira peranan dan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dalam melantik Perdana Menteri yang pada pertimbangan baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Selain itu katanya, pihak pembangkang turut mencadangkan supaya sebarang pindaan Perlembagaan berkaitan perkara tersebut dirujuk terlebih dahulu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja memandangkan ia mempunyai implikasi terhadap peranan serta kedudukan institusi Raja-Raja.
“Sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibuat dengan teliti dan berhemah, selain mendapat sokongan konsensus yang meluas.
“Kegagalan kerajaan dalam isu ini adalah kegagalannya sendiri, bukan orang lain,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Pas kekal komited terhadap usaha reformasi institusi termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, namun ia mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus serta selari dengan semangat Perlembagaan negara.
VIDEO: Ada Pembangkang Salah Faham Pengundian RUU Untuk Beri Anwar Berkhidmat 10 Tahun – Fahmi
Sebelum ini, Fahmi dilaporkan berkata, kegagalan meluluskan pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal adalah berpunca daripada salah faham dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang terhadap cadangan tersebut.
Beliau turut menjelaskan kerajaan sebenarnya bersedia meneruskan reformasi institusi termasuk had tempoh jawatan Perdana Menteri, namun ia memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat bagi meluluskan pindaan Perlembagaan.
Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal merupakan antara agenda reformasi institusi yang pernah diketengahkan oleh kerajaan Perpaduan dalam usaha memperkukuh sistem demokrasi dan tadbir urus negara. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















