SABAR BERNAM – Polis mengesahkan kejadian kebakaran khemah yang menjual bunga api di Sungai Besar di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, sejurus menerima laporan, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Yusof juga memaklumkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar yang dikejarkan ke lokasi kejadian berjaya memadamkan api kebakaran tersebut daripada merebak.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, katanya.
Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati sepanjang musim perayaan.
Orang ramai perlu lebih berwaspada terutama kepada penjaja yang menjual bunga api semasa di musim perayaan, katanya. – MalaysiaGazette
















