Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin.

KUANTAN – Seorang pelajar lelaki di sebuah institusi pendidikan di Pekan cedera dipercayai akibat dipukul oleh dua pelajar senior pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Zaidi Mat Zin berkata pihaknya menerima laporan kejadian melibatkan mangsa berusia 16 tahun itu pada 1.05 tengah hari semalam.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 4 petang ketika mangsa dipanggil oleh dua pelajar senior masing-masing berusia 19 tahun ke belakang sebuah bengkel di institusi itu.

“Mangsa mendakwa dipukul dan ditolak oleh individu terbabit hingga menyebabkannya mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian leher, dada, lengan dan lutut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Zaidi berkata siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai berlaku akibat rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang tidak memohon maaf kepada tenaga pengajar atas kesalahan menghisap rokok elektronik di kawasan institusi pendidikan berkenaan.

Beliau berkata polis telah merakam keterangan mangsa dan dua suspek terbabit dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast