Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat tulisan Al Quran dalam bahasa Rusia pada majlis Pelancaran Terjemahan Al-Quran Bahasa ke-30 (Bahasa Rusia) Pelancaran Mushaf al-Ummah dan Peluncuran Kontena Penghantaran Al-Quran di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejarah yang terpahat di dalam al-Quran tidak wajar dipandang ringan, malah menjadi wahana penting untuk memperbaiki kedudukan manusia, mengambil ibrah daripada pengalaman silam dan membimbing umat menghadapi cabaran semasa.

Dalam ucapan sempena sambutan Nuzul Quran hari ini, Perdana Menteri berkata, al-Quran bukan sekadar memenuhi maqasid penurunannya dalam memperkukuh akidah dan memuliakan insan, tetapi juga merakamkan misi islah melalui kisah sejarah perjuangan para rasul sebagai pedoman umat.

Terdahulu, menurut beliau, Ramadan bukan sekadar sarat dengan rutin ibadah puasa, tilawah al-Quran dan tarawih, tetapi turut mengangkat peristiwa agung penurunan wahyu yang menjadi mukjizat dengan daya transformasi luar biasa.

“Melaluinya, masyarakat jahiliah berjaya dibentuk menjadi khayra ummah, sebagaimana generasi para sahabat yang dikenal sebagai generasi al-Quran,” kata beliau menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sehubungan itu, Anwar berharap semoga umat Islam menjadikan al-Quran sebagai pedoman yang memandu langkah, memperkukuh akidah, memaknai kehidupan serta membina sebuah masyarakat yang sejahtera dan berperadaban. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast