TANGKAP layar video tular di media sosial yang mendakwa pelajar Kolej Poly-Tech MARA membuat bising hingga mengganggu penduduk.

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) telah mengambil tindakan segera susulan rungutan penduduk terhadap pelajar institusi berkenaan di kawasan kediaman sewaan mereka.

KPTMSB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pertemuan bersama individu yang terlibat serta wakil komuniti setempat telah diadakan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Menurutnya, hasil pertemuan itu, perkara tersebut telah diselesaikan secara baik antara pihak-pihak terlibat.

“Pelajar telah memohon maaf atas sebarang ketidakselesaan yang berlaku dan video berkenaan juga telah diturunkan daripada media sosial,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan rungutan penduduk di sebuah kawasan kejiranan yang mendakwa pelajar KPTMSB membuat bising di kawasan kediaman sewaan mereka yang didakwa berlaku di Ipoh, Perak.

Sementara itu, KPTMSB menegaskan bahawa insiden yang tular tersebut hanya melibatkan sebilangan kecil individu dan sama sekali tidak mencerminkan sahsiah, nilai serta disiplin yang dipegang oleh majoriti pelajar KPTM cawangan.

Katanya, pihak KPTMSB sentiasa menitikberatkan aspek disiplin dan sahsiah pelajar serta komited memastikan pelajar sentiasa menghormati komuniti setempat. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast