Mohd Asna Amin

KUALA LUMPUR – Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mohd Asna Amin menegur kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil yang menyarankan Presiden UMNO merendahkan ego dan memohon maaf kepada ahli yang dipecat atau digantung daripada parti.

Asna yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan berkata, cadangan itu tidak berasas memandangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah pun menunjukkan keterbukaan dengan memberi peluang kepada bekas ahli kembali menyertai parti.

“Presiden UMNO telah menunjukkan jiwa besar dengan membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang dipecat atau digantung untuk kembali kepada parti tanpa sebarang syarat.

“Jadi di sini yang perlu menurunkan ego bukanlah presiden UMNO, tetapi Isham sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Asna, Isham juga sepatutnya memahami tindakan pemecatan terhadapnya sebelum ini berlaku selepas beliau kerap mengkritik parti secara terbuka serta tidak menghadiri beberapa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi.

Beliau berkata, Isham turut lantang menentang keputusan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

“Kerjasama BN dengan PH itu bukan keputusan sewenang-wenangnya, sebaliknya berlaku selepas tiada parti memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan dan ia dibuat atas titah Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Dalam masa sama, Asna mempersoalkan tindakan Isham yang didakwa berkempen di pentas pihak lawan serta mengkritik UMNO secara terbuka selepas dipecat daripada parti.

“Jangan anggap diri terlalu suci seolah-olah tidak pernah melakukan kesalahan. Jika benar dalam diri itu mengalir darah UMNO, tidak mungkin sanggup berada di pentas pihak lawan dan berkempen memburukkan parti.

“Bukti video beliau berkempen memburukkan UMNO serta menggunakan gelaran seperti ‘UMDAP’ juga banyak tersebar di media sosial,” katanya.

Asna turut membandingkan tindakan Isham dengan beberapa tokoh lain yang pernah dikenakan tindakan disiplin parti tetapi tidak menyerang UMNO secara terbuka.

“Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan, selepas dipecat atau digantung, tidak pernah kita lihat berada di pentas pihak lawan untuk memburukkan UMNO.

“Sebaliknya Khairy antara individu terawal yang secara terbuka menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO menerusi agenda ‘Rumah Bangsa’ selepas presiden membuka pintu kepada bekas ahli,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Isham supaya tidak terus mencari kesalahan orang lain dan sebaliknya menilai kembali tindakannya sendiri.

“Berbicaralah dengan lunak dan rendah hati kerana sifat lemah lembut itu adalah kebaikan,” katanya. -MalaysiaGazette

Zahid perlu turunkan ego, minta maaf kepada pemimpin UMNO dibuang, digantung – Isham

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast