Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang doktor pelatih wanita berusia 29 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik asrama Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, Kelantan, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada pihak hospital kira-kira jam 9.55 pagi.

Menurut beliau, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai bersama anggota Balai Polis Kuala Krai bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut sebaik menerima laporan tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di salah sebuah bilik asrama HSIP Kuala Krai dan mangsa ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

“Pemeriksaan awal dijalankan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Tambah beliau, mayat dibawa ke Unit Forensik HSIP untuk bedah siasat.

Mazlan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Kuala Krai di talian 09-9666222 bagi membantu siasatan. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast