KUANTAN – Polis memohon kerjasama orang ramai mengesan seorang remaja perempuan, Puteri Nor Aishah Ahmad Sulaiman, 14, yang dilaporkan hilang sejak 4 Mac lepas.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, remaja itu dilaporkan hilang selepas memberitahu ibunya untuk ke bazar Ramadan kira-kira pukul 6.45 petang pada hari tersebut.
“Ibu mangsa yang berusia 38 tahun membuat laporan polis pukul 11.13 pagi semalam, selepas anaknya itu tidak pulang ke rumah.
“Kali terakhir dia melihat anaknya itu adalah di rumah mereka di Taman Chegar Medang, Bentong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zaiham, remaja itu mempunyai fizikal badan gempal dengan ketinggian anggaran 157 sentimeter dan berat 40-45 kilogram selain berkulit warna coklat.
Katanya, kali terakhir gadis itu dilihat memakai baju-T berwarna hitam berlengan pendek, seluar jeans warna hitam dan selipar berwarna biru.
Beliau memohon mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai gadis itu agar tampil ke mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















