KUANTAN – Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan kerana memandu secara merbahaya di jalan naik Genting Highlands, Bentong semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kadir berkata, pihaknya sebelum itu mengesan sebuah video klip berdurasi 14 saat di media sosial memaparkan tindakan lelaki itu pada 2 Mac lepas.
“Hasil siasatan awal mendapati klip video itu memaparkan sebuah kenderaan jenis BMW 325I dipandu dengan merbahaya ke kiri dan ke kanan (drift) di selekoh jalan ketika dalam perjalanan menuju ke Genting Highlands.
“Susulan itu, polis menjalankan usaha mengesan pemandu berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaiham berkata, lelaki itu telah hadir ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kira-kira pukul 11 pagi semalam bersama kenderaan berkenaan.
Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap lelaki tersebut mendapati keputusan negatif bagi bahan terlarang.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya kepada orang awam,” katanya.
Justeru, beliau menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peratusan lalu lintas serta tidak melakukan sebarang aksi pemanduan berbahaya yang boleh mengancam keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain. – MalaysiaGazette
















