KUANTAN – Tiada kecederaan dilaporkan berkait kejadian kanak-kanak dipukul bapanya ketika menghantar barang ke rumah pelanggan di Felda Chini, Pekan semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, pihaknya telah menjalankan siasatan awal susulan tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian itu hari ini.
“Punca kejadian dipercayai apabila pelanggan tersebut melarang anak lelaki itu bermain kerusi di rumah terbabit kerana dikhuatiri jatuh.
“Apabila teguran tak diendahkan kanak-kanak tersebut, bapanya berang dan berlakulah kejadian seperti dalam video itu,” katanya ketika dihubungi.
Beliau turut memaklumkan tiada laporan polis yang buat oleh kedua-dua pihak dan tiada kecederaan dilaporkan ke atas mana-mana individu dalam video terbabit.
Terdahulu, rakaman video CCTV berdurasi kira-kira 58 saat kejadian terbabit tular di laman Facebook menimbulkan kemarahan warganet kerana tindakan bapanya yang merupakan penghantar barang telah dilihat menerajang dan memukul kanak-kanak tersebut di rumah seorang pelanggannya. – MalaysiaGazette
















