KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) melahirkan harapan supaya Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang menyaksikan pertemuan lapan parti politik Melayu-Islam yang berlangsung kelmarin berkekalan.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad berkata, musyawarah itu wajar diteruskan dan diperluaskan dengan penglibatan lebih banyak parti politik lain bagi membina budaya politik yang lebih inklusif, matang dan beradab.
Dalam masa sama, beliau berterima kasih kepada UMNO dan Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mempengerusikan pertemuan lapan parti politik berteraskan Melayu dan Islam tersebut.
Menurutnya, walaupun terdapat pelbagai pandangan politik, namun Amanah beranggapan platform itu penting untuk mengemukakan agenda membina Melayu bermaruah melalui pendekatan politik nilai.
“Melayu bermaruah ialah Melayu yang yakin dengan jati diri dan nilai Islam, berintegriti dalam kepimpinan, berani menegakkan kebenaran serta memajukan bangsa melalui ilmu, kecekapan dan tadbir urus yang bersih.
“Tujuannya supaya orang Melayu maju dengan keyakinan dan tidak mudah diperdaya oleh naratif “Melayu terancam” yang sering digunakan untuk menakut-nakutkan masyarakat,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Sementara itu, Khalid berkata, pada hakikatnya dalam keadaan kedudukan Islam, Melayu dan bumiputera terpelihara serta dijamin oleh Perlembagaan, tiada sebab untuk masyarakat hidup dalam politik ketakutan dan kebencian.
Sebaliknya, ujar beliau, berasaskan ajaran Islam, politik seharusnya digerakkan secara positif untuk membina masyarakat dan memimpin ke arah kebaikan untuk semua.
Tambahnya, Melayu yang bermaruah juga tidak dibina dengan politik ketakutan, tetapi dengan keyakinan diri, ilmu dan kematangan berfikir.
“Apabila jiwa Melayu dibina dengan ketakutan dan emosi, mereka mungkin patuh tetapi tidak berfikir, setia tetapi tidak berdaya saing, serta lebih cenderung menyalahkan orang lain daripada memperbaiki diri,” katanya.
Tambah Khalid, sebagai parti yang berteraskan nilai Islam yang rahmah dan pendekatan politik nilai, Amanah melihat ruang dialog seperti itu sebagai langkah positif untuk memperkukuh persefahaman dan mencari titik persamaan antara parti-parti politik.
Ujarnya, usaha memperkasakan umat Islam dan masyarakat bumiputera perlu digerakkan melalui nilai, idea, dasar dan penyelesaian yang konstruktif, bukan melalui sentimen emosi atau pendekatan perkauman sempit yang akhirnya hanya memecah-belahkan masyarakat.
Khamis lalu, pemimpin-pemimpin daripada lapan parti politik Melayu-Islam bermusyawarah buat kali pertama bagi membincangkan isu berkenaan Islam, Melayu dan bumiputera yang berlangsung di ibu pejabat UMNO, di sini.
Parti-parti terlibat adalah daripada Pas; Parti Keadilan Rakyat (PKR); Amanah; Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS); Berjasa, Kimma dan Parti Ikatan Bangsa (Ikatan).
Musyawarah kali pertama itu adalah hasil gagasan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menghimpunkan pelbagai parti, tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang bagi membincangkan maslahah ummah dan Islam. – MalaysiaGazette
















