Sumber : Kesultanan Pahang

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Nuzul Al-Quran kepada seluruh umat Islam di negeri Pahang khususnya dan di Malaysia amnya.

Baginda berdua menzahirkan doa dan harapan agar sambutan Hari Nuzul Al-Quran pada tahun ini menjadi ruang untuk umat Islam memperkukuh keimanan, memperbanyakkan amalan membaca, memahami serta menghayati isi kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan detik penting dalam sejarah umat Islam kerana ia menandakan turunnya wahyu pertama kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai petunjuk dan rahmat kepada seluruh umat manusia,” titah baginda menerusi laman Kesultanan Pahang hari ini.

Sehubungan itu, baginda berdua menyeru agar umat Islam terus menjadikan al-Quran sebagai pedoman utama dalam membentuk peribadi yang berakhlak mulia, berilmu serta berintegriti dalam setiap aspek kehidupan.

Baginda turut menzahirkan harapan agar nilai-nilai murni yang terkandung dalam al-Quran seperti keadilan, kasih sayang, kejujuran dan kesederhanaan dapat terus diamalkan dalam masyarakat bagi memupuk perpaduan, keharmonian serta kesejahteraan negeri dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast