Pemandu Honda BR-V yang juga ulat kereta sewa secara haram ditahan di Terminal 1, KLA. - Foto JPJ Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu Honda BR-V yang menawarkan khidmat kereta sewa haram atau ‘ulat’ ditahan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Azrin Borhan berkata, pemandu berkenaan ditahan semasa ingin mengambil seorang penumpang warga Bangladesh.

Katanya, tangkapan dilakukan hasil daripada intipan dan pemantauan di Terminal 1 KLIA, Stesen Penguatkuasa KLIA.

“Hasil siasatan awal mendapati, ‘ulat’ akan memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada penumpang warga Bangladesh dari Terminal 1 KLIA ke Rawang, Selangor.

“Pemandu terbabit mengenakan kadar tambang RM100 dan akan dibayar apabila sampai ke destinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, kenderaan jenis Honda BR-V itu turut disita untuk siasatan selanjutnya.

“Mana-mana individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Jika sabit kesalahan dan sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta yang sama,” jelasnya.

Beliau berkata, orang awam dinasihat untuk mengutamakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast