JOHOR BAHRU – Program Empowering The Young Muslimah yang dianjurkan sempena Hari Wanita Sedunia bermula tahun lalu dicadang untuk diperluas ke negeri lain selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Penasihat Program Mooda Events, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, program yang membincangkan isu kepimpinan Muslimah, keseimbangan dalam ekonomi rumah tangga serta aspek kerohanian dalam menghadapi cabaran dunia hari ini, mendapat sambutan mengggalakkan daripada golongan wanita muda.
“Kita cadang selepas ini nak buat program ini bukan dalam bulan puasa. Pertama kali kita anjurkan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Ramadan tahun lalu dan kali kedua di Johor Bahru hari ini.

“Di Kuala Lumpur 1,000 hadir manakala di Johor Bahru hari ini Lebih 800 hadir. Kita mahu lihat buat dalam bulan biasa sama ada akan lebih lagi penyertaan. Sebelum ini kita buat setahun sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Empowering The Young Muslimah di Danga Bay Convention Center di sini hari ini.
Menurut Nurul Akmal, penyertaan ramai golongan wanita daripada generasi Y dan Z menunjukkan wanita muslimah muda berminat untuk mendalami ilmu yang berkaitan dengan kehidupan mereka, termasuk dalam aspek kewangan Islam dan syariah.
Katanya, ini dapat dilihat menerusi program yang diadakan pada hari ini yang mana terdapat ramai peserta yang datang dari seluruh negeri termasuk yang tinggal jauh dari kawasan Johor Bahru.
Ditanya penganjuran program itu akan melibatkan berapa negeri selepas ini, Nurul Akmal berkata, perkara tersebut masih dalam perancangan dan juga bergantung dengan kerjasama NGO setempat.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai, Nooryana Najwa Najib bersyukur kerana sambutan program Empowering The Young Muslimah hari ini, meriah dan beliau berharap program seperti itu akan diadakan lebih kerap.
Tambahnya, program sedemikian amat bermanfaat kepada anak-anak muda yang mahu mendapatkan nasihat dan pandangan dalam memimba ilmu serta dijadikan panduan hidup.- MalaysiaGazette
















