Lee Lam Thye
Lee Lam Thye.

KUALA LUMPUR – Pejuang Perpaduan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional sebagai sebuah badan berkanun bebas bagi melindungi serta memperkukuh keharmonian antara etnik dan agama di negara ini.

Cadangan tersebut dilontarkan beliau susulan peningkatan insiden menyentuh sensitiviti kaum dan agama kebelakangan ini.

Katanya, kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang dimiliki Malaysia sejak sekian lama menjadi kekuatan utama negara, namun beberapa kejadian mutakhir ini sama ada di dalam talian atau luar talian menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh usaha melindungi perpaduan nasional.

Menurut beliau, Malaysia selama ini dikenali sebagai negara berbilang kaum yang berjaya hidup bersama secara aman, saling menghormati serta menikmati kemakmuran secara bersama.

“Kehebatan terbesar Malaysia sentiasa terletak pada kepelbagaian kita. Sebagai sebuah negara berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang budaya, sejak sekian lama kita berbangga dengan keupayaan untuk hidup bersama dalam keadaan aman, saling menghormati dan menikmati kemakmuran bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa sensitiviti berkaitan kaum dan agama perlu ditangani secara berhati-hati kerana jika dibiarkan, ia berpotensi menjejaskan asas perpaduan nasional.

Katanya, dalam beberapa tahun kebelakangan ini terdapat peningkatan kejadian yang menguji sensitiviti kaum dan agama yang boleh menghakis keharmonian masyarakat sekiranya tidak dibendung dengan berkesan.

Lee berkata, suruhanjaya yang dicadangkan itu boleh berfungsi sebagai mekanisme intervensi awal bagi memantau trend, menjadi pengantara dalam pertikaian serta mengendalikan aduan sebelum ia berkembang menjadi konflik yang lebih besar.

Selain itu, katanya, badan tersebut juga boleh memudah cara dialog antara agama dan antara budaya secara lebih tersusun, menggalakkan inisiatif berasaskan komuniti serta memberi nasihat kepada kerajaan mengenai dasar yang melibatkan isu sensitif berkaitan kaum, agama, bahasa dan pendidikan.

Menurut beliau, penubuhan suruhanjaya berkenaan wajar dilihat sebagai langkah proaktif dalam usaha memperkukuh perpaduan negara, bukannya sekadar reaksi terhadap sesuatu krisis.

“Penubuhan suruhanjaya sedemikian tidak seharusnya dilihat sebagai reaksi terhadap krisis, sebaliknya sebagai langkah proaktif ke arah pembinaan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast