Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik).

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) memohon semua pihak mengelak daripada membuat sebarang spekulasi berhubung kematian seorang doktor pelatih Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Jumaat lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, pertubuhan itu menegaskan privasi serta maruah keluarga mangsa wajar dihormati dan insiden itu tidak disebarluaskan secara tidak bertanggungjawab di media sosial.

Jelasnya, memberikan ruang kepada keluarga untuk berduka dan melalui proses pemulihan adalah satu bentuk ihsan yang amat penting.

Tambahnya, profesion perubatan merupakan satu bidang yang menuntut tanggungjawab besar serta ketahanan emosi yang tinggi.

“Para doktor, khususnya mereka yang masih dalam latihan, sering berdepan dengan tekanan kerja, waktu kerja yang panjang serta cabaran yang kompleks,” katanya.

Tambahnya, walaupun sebarang siasatan atau penelitian perlu diberi ruang untuk berjalan secara adil dan telus tanpa prejudis, insiden itu mengingatkan semua tentang pentingnya memperkukuh sistem sokongan terhadap kesejahteraan mental warga kesihatan.

Sehubungan itu, katanya, I-Medik menyeru agar semua pihak berkepentingan termasuk institusi kesihatan, badan profesional dan pembuat dasar terus memperkukuh usaha mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat dan menyokong untuk para doktor serta petugas kesihatan.

Jelasnya, ia termasuk memupuk budaya kerja yang prihatin, memperkasa sistem sokongan rakan sekerja dan mentor, serta memastikan saluran bantuan tersedia bagi mereka yang sedang berdepan tekanan emosi atau keletihan kerja.

Dalam masa sama, tambahnya, I-Medik juga mengingatkan warga perubatan untuk saling mengambil berat antara satu sama lain.

“Bertanya khabar, memberi ruang untuk berbicara, serta mendapatkan bantuan apabila merasa terbeban merupakan langkah penting dalam menjaga kesejahteraan diri.

“Menjaga kesihatan mental bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya satu usaha penting untuk memastikan kita mampu terus berkhidmat dengan baik kepada pesakit dan masyarakat,” katanya.

Jumaat lalu, seorang doktor pelatih berusia 29 tahun ditemukan maut di bilik air bangunan asrama HSIP, Kuala Krai, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, punca kematian adalah disebabkan oleh tekanan pada leher dan kes disiasat sebagai laporan mati mengejut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast