Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melawat lebuhraya selepas merasmikan Pembukaan Lebuhraya Setiawangsa - Pantai Expressway (SPE) di Plaza Tol Chow Sow Lin, Kuala Lumpur. (Gambar fail).

SUATU ketika dahulu, manusia membina penempatan di tebing sungai. Bukan kerana airnya mengalir tetapi kerana sungai membawa kehidupan, menyediakan sumber makanan, memudahkan perhubungan dan membuka laluan perdagangan.

Sungai pada zaman itu ibarat lebuh raya semula jadi. Sebab itulah tamadun awal dunia seperti Sumeria di Mesopotamia, Mesir di sepanjang Sungai Nil, tamadun Hwang Ho di China dan Lembah Indus berkembang di sekitar sungai besar.

Hari ini, dalam dunia serba moden, peranan itu sebahagian besarnya diambil alih oleh jaringan jalan raya, menghubungkan bandar dengan bandar, kampung dengan kota, serta rakyat dengan peluang ekonomi.

Pendek kata, jalan raya bukan sekadar lapisan tar hitam yang menghubungkan satu destinasi dengan destinasi lain. Ia nadi kepada kehidupan moden yang menggerakkan ekonomi, memudahkan mobiliti dan mencantumkan kehidupan masyarakat.

Tidak hairanlah pembangunan serta penyelenggaraan infrastruktur jalan raya sentiasa menjadi antara perkara yang diberi perhatian oleh mana-mana kerajaan.

Malah ada berpendapat jalan raya boleh dianggap sebagai antara kayu ukur paling mudah untuk menilai keberkesanan sesebuah pentadbiran.

Dalam bahasa mudah, kalau mahu tahu prestasi sebenar sesebuah kerajaan, tidak perlu menunggu laporan ekonomi yang tebal atau statistik yang sarat angka. Cukup sekadar memandu beberapa minit di atas jalan raya.

Dari situ kita dapat melihat sendiri, sama ada perjalanan lancar atau tersangkut dalam kesesakan, sama ada jalan rata atau perlu mengelak lubang di sana sini.

Pengalaman ringkas itu sebenarnya mencerminkan realiti dilalui jutaan rakyat setiap hari.

Dalam konteks ini, usaha memperkukuh infrastruktur jalan raya terus menjadi antara fokus penting di bawah pentadbiran kerajaan MADANI.

Melalui Belanjawan 2026, sejumlah RM10.692 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR), dengan RM9.607 bilion daripadanya untuk perbelanjaan pembangunan.

Salah satu inisiatif utama ialah Program MYJalan yang menerima peruntukan RM2.5 bilion bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan seluruh negara.

Program dicetuskan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi  bertujuan memastikan jalan raya negara sentiasa dalam keadaan baik, selamat dan selesa digunakan rakyat.

Namun MYJalan bukan sekadar projek menampal lubang di permukaan jalan. Sebaliknya, ia kerja penyelenggaraan yang lebih menyeluruh termasuk menurap semula permukaan jalan, menambah baik sistem saliran serta mempertingkat ciri keselamatan seperti papan tanda dan garisan jalan.

Aspek keselamatan untuk pengguna jalan raya juga terus diberi perhatian. KKR akan memasang 3,000 lampu LED baharu di lokasi lebuh raya dikenal pasti berisiko tinggi berlaku kemalangan.

Pencahayaan baik bukan sahaja meningkatkan penglihatan pemandu, malah membantu mengurangkan risiko kemalangan terutama di kawasan selekoh, persimpangan atau laluan yang sering mencatatkan kadar kemalangan tinggi.

Dalam hal keselamatan jalan raya, kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) turut memberikan gambaran menarik.

Menurut kajian itu, 80.6 peratus kemalangan jalan raya berpunca kecuaian manusia, manakala 13.2 peratus disebabkan keadaan jalan dan 6.2 peratus berpunca faktor kenderaan.

Meskipun keadaan jalan bukan penyumbang utama kemalangan, usaha memastikan jalan raya dalam keadaan terbaik tetap penting kerana ia memberi rasa selamat kepada pengguna.

Atas sebab itulah kerajaan turut memperuntukkan RM30 juta kepada 115 Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi melaksanakan kerja pembaikan segera di kawasan masing-masing.

Pendekatan ini cukup praktikal kerana jurutera daerah lebih mengetahui keadaan sebenar jalan raya di kawasan mereka, termasuk kerosakan kecil yang memerlukan tindakan pantas sebelum menjadi masalah besar.

Kadangkala lubang kecil yang dibiarkan terlalu lama boleh bertukar menjadi kerosakan serius, terutama apabila laluan berkenaan dilalui kenderaan berat setiap hari.

Selain itu, kerajaan menyediakan RM260 juta bagi kerja keselamatan cerun di kawasan berisiko tinggi di seluruh negara.

Sebagai negara yang mempunyai banyak kawasan berbukit serta menerima hujan lebat sepanjang tahun, Malaysia tidak terlepas risiko tanah runtuh yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

Kerja pengukuhan cerun ini penting bagi memastikan laluan jalan raya kekal selamat dan tidak terjejas akibat pergerakan tanah.

Di samping penyelenggaraan, kerajaan turut meneruskan beberapa projek strategik berskala besar bagi meningkatkan kesalinghubungan wilayah.

Antaranya projek Pan Borneo Sabah, Sabah–Sarawak Link Road (SSLR) dan Lebuhraya Trans Borneo (LTB) yang bertujuan memperkukuh jaringan pengangkutan darat di Sabah dan Sarawak.

Apabila projek-projek ini siap sepenuhnya kelak, ia dijangka membawa perubahan besar kepada kehidupan rakyat di kedua-dua negeri, dari segi akses kepada perkhidmatan, pergerakan ekonomi serta pembangunan wilayah.

Akhirnya, satu perkara perlu diingat. Kerajaan boleh menyediakan infrastruktur terbaik, tetapi pengguna jalan raya juga mempunyai tanggungjawab yang sama penting.

Disiplin memandu, sikap berhati-hati dan rasa tanggungjawab terhadap pengguna lain faktor utama yang menentukan sama ada sesuatu perjalanan itu selamat atau sebaliknya.

Apabila jalan raya dijaga dengan baik dan digunakan secara berhemah, manfaatnya bukan sahaja dirasai oleh pemandu, tetapi seluruh ekonomi negara.

Dalam konteks ini, usaha kerajaan MADANI melalui KKR untuk memperkukuh jaringan jalan raya wajar dilihat sebagai pelaburan jangka panjang, bukan sahaja untuk keselesaan hari ini, tetapi juga untuk masa depan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast