KUALA LUMPUR – Jumlah kejadian kebakaran di bangunan strata tinggi termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR) menunjukkan peningkatan yang membimbangkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, rekod tahun ini menunjukkan sebanyak 86 kes berbangding 75 kes pada tahun sebelumnya.
“Yang mana tahun 2023 sebanyak 68 kes. Trend ini menunjukkan betapa pentingnya usaha memperkukuhkan kesedaran
keselamatan kebakaran serta tahap kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dalam kalangan pihak pengurusan bangunan dan juga penduduk,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu katanya, JWP bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JBPM WPKL) mempergiat usaha meningkatkan tahap keselamatan kebakaran di pembangunan strata di seluruh KL.
Menurutnya, dua langkah utama adalah penyelenggaraan sistem keselamatan kebakaran secara berkala dan peranan aktif penduduk.
“Semua badan pengurusan bangunan, termasuk Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Management Corporation (MC) perlu memastikan penyelenggaraan sistem keselamatan kebakaran secara berkala.
“Penyelenggaraan ini penting bagi memastikan sistem pencegahan kebakaran, peralatan keselamatan serta proses evakuasi sentiasa berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan sempurna.
“Pihak pengurusan juga digalakkan untuk bekerjasama rapat dengan JBPM WPKL dan boleh menghubungi [email protected] / 03-21484444 bagi mendapatkan panduan lanjut.
“Penduduk juga digalakkan memainkan peranan dengan mengingatkan serta berinteraksi secara aktif dengan pihak JMB atau MC bagi memastikan penyelenggaraan sistem keselamatan kebakaran dilaksanakan secara berkala,” jelasnya. -MalaysiaGazette
















