Mangsa kebakaran mencari barang-barang yang masih boleh digunakan di tapak perkampungan atas air yang terbakar di Kampung Orang Asli Teluk Jawa, Masai, Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Lebih 41 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Orang Asli Teluk Jawa, Masai di sini, bulan lalu menganggap pemindahan mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Cendana, Pasir Gudang tidak sesuai dan menyukarkan mereka untuk mencari rezeki.

Mereka mendakwa, ini kerana majoriti mereka adalah nelayan dan penempatan baharu tersebut jauh dari Kampung Orang Asli Teluk Jawa yang merupakan perkampungan atas air di tepi laut.

Jelas penduduk, penempatan lama amat mudah kerana berada atas air dan untuk pergi menangkap hasil laut, mereka hanya perlu menggunakan bot yang berada di bawah rumah masing-masing.

Aiman Majid, 39, mendakwa pada masa ini, dia terpaksa mengehadkan aktiviti menangkap ikan kerana hanya dapat melakukan aktiviti itu dengan bantuan kenalan selepas bot miliknya terbakar.

“Secara keseluruhannya 23 bot penduduk yang musnah dalam kebakaran itu. Semua mangsa yang tinggal sehelai sepinggang mungkin memakan masa lebih enam bulan bagi membina kehidupan baharu.

“Kami bersyukur kerana ditawarkan rumah di PPR Taman Cendana namun ia tidak sesuai memandangkan kebanyakan kami merupakan nelayan dan bergantung kepada hasil penangkapan ikan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Pada 2 Mac lalu, seramai 139 mangsa kebakaran dipindahkan ke PPR tersebut selepas ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Taman Megah Ria selepas insiden itu pada 12 Februari lalu.

Aiman berkata, mangsa kebakaran juga difahamkan akan diberikan kemudahan penempatan baharu namun dikatakan mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk disediakan di kawasan Kuala Masai.

“Oleh itu kami terpaksa menumpang di rumah kenalan yang juga nelayan buat masa ini.

“Namun ia tidak sesuai bagi jangka masa panjang, oleh itu kami berharap dapat mendirikan rumah sementara atau di kawasan kampung bersebelahan Kampung Kuala Masai,” katanya.

Aiman berkata, kira-kira 80 peratus daripada penduduk perkampungan itu merupakan umat Islam dan tahun ini tidak mampu untuk meraikan Aidilfitri.

“Kami tidak dapat memikirkan soal persiapan raya kerana masih menumpang di kediaman kenalan dan saudara-mara di kampung berhampiran selepas kediaman musnah dalam kebakaran,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini mereka juga bergantung kepada sejumlah bantuan kewangan daripada kerajaan negeri mahupun Pusat.

“Bantuan ini dapat digunakan bagi menampung kos makan minum namun untuk membeli bot, sehingga kini kami masih tiada modal yang mencukupi.

“Begitu juga dengan pembinaan rumah sementara, buat masa ini kami tidak berkemampuan dan berharap ada pihak yang membantu,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Pertubuhan Orang Asli Prihatin Johor (POAPJ), Jasni Amat berkata, pihaknya mohon bantuan ramai untuk mendirikan rumah sementara bagi mangsa kebakaran berkenaan.

Menurutnya, pihaknya memerlukan dana bagi pembinaan rumah sementara untuk menempatkan 41 keluarga Orang Asli Seletar itu.

“Kami memerlukan dana RM50,000 hingga RM60,000 dan buat masa ini jumlah terkumpul hanya RM1,983,” ujarnya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Pertubuhan Orang Asli Perhatian Bank Simpanan Nasional (BSN) 01007-41-0000 4337-3.

“Orang ramai diminta menghubungi talian 019-7343822 bagi maklumat lanjut,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast