Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Mahkamah Tinggi di sini kira-kira jam 8.40 pagi bagi menghadiri hari pertama perbicaraan kes membabitkan pertuduhan salah guna kedudukan serta pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa.

Ketibaan beliau turut menarik perhatian media tempatan dan antarabangsa yang telah berkumpul di perkarangan kompleks mahkamah seawal jam 7.30 pagi bagi membuat liputan kes berprofil tinggi itu.

Muhyiddin yang kelihatan tenang sempat melambai ke arah petugas media sebelum memasuki kompleks mahkamah.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut dilihat bersalaman dengan beberapa pemimpin politik serta penyokong yang hadir memberikan sokongan kepadanya.

Antara yang kelihatan berada di lokasi ialah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Armada Bersatu, Hilman Idham.

Muhyiddin berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri ketika itu bagi memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta untuk parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.

Selain itu, beliau turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank milik parti berkenaan.

Kes tersebut berkait dengan projek Jana Wibawa yang diperkenalkan ketika negara berdepan pandemik COVID-19 bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan serta membantu pemulihan ekonomi negara.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu dijadual berlangsung selama 29 hari bermula hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noor Ruwena Md Nurdin.

Perbicaraan dijangka bermula dengan pihak pendakwaan membentangkan kenyataan pembukaan bagi menggariskan pertuduhan serta bukti terhadap tertuduh.

Pada 10 November tahun lalu, Noor Ruwena menetapkan 29 hari bagi perbicaraan kes tersebut yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 11 Mac; 13, 16, 28 dan 29 April; 25 dan 26 Mei; 6 hingga 10, 13 hingga 17 serta 27 hingga 29 Julai.

Perbicaraan kemudian bersambung pada 17 hingga 21 serta 26 dan 27 Ogos 2026.

Kira-kira 30 saksi pendakwaan dijangka dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast