KUALA LUMPUR – Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) 2026–2030 direka untuk memperkukuh pengumpulan modal, menghargai daya dinamik perniagaan menjadikan kelestarian sebagai pemacu nilai dan meluaskan penyertaan bermakna merentasi ekonomi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan induk itu melengkapi strategi ekonomi nasional yang lebih luas seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Jalan Peralihan Tenaga Negara yang bertujuan menaik taraf industri, mendalami kompleksiti ekonomi dan mempercepat peralihan ke arah masa depan rendah karbon.
Pasaran modal mesti memainkan peranan utama dalam memobilisasi modal secara besar-besaran dan mengarahkan pelaburan ke sektor yang akan memacu pertumbuhan lestari.
Anwar turut menekankan keperluan untuk meluaskan senarai syarikat yang bersedia untuk memasuki pasaran awam termasuk memperkukuh penyertaan Bumiputera dengan menyokong firma yang mempunyai kapasiti dan aspirasi untuk menjadi syarikat tersenarai awam.
“Usaha untuk memperkukuh penyertaan Bumiputera termasuk menyokong firma yang mempunyai kapasiti dan aspirasi untuk menjadi syarikat tersenarai awam adalah penting untuk membina ekonomi yang lebih inklusif dan berasaskan luas.
“Pasaran modal Malaysia tidak boleh berdiam diri pada masa apabila kuasa sentripetal dan sentrifugal menarik ke arah yang bertentangan.
“Kita mesti menerima kemusnahan kreatif pada zaman pasca-normal ini bukan dengan kerisauan tetapi dengan keyakinan bahawa kita boleh muncul lebih kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran CMP 2026-2030 di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini hari ini.

Di bawah pelan induk itu, pengantara pasaran modal akan memainkan peranan utama dalam mewujudkan laluan berasaskan pasaran untuk Entiti Perniagaan ASEAN Malaysia (MyABE) dan perusahaan milik Bumiputera bagi mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara.
Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya potensi pasaran modal negara menerusi lonjakan aspirasi baharu dalam situasi ekonomi global yang semakin kompleks.
Perdana Menteri berkata, langkah itu juga penting ekoran jangkaan pelaburan yang semakin meluas dan pasaran modal negara perlu memacu peralihan itu dengan menyediakan laluan bermakna bagi syarikat untuk mengumpul dana dengan cekap, berkembang dengan yakin dan berinovasi dengan tujuan.
“Pada masa yang sama, melalui Pelan Tindakan Peralihan Tenaga Negara, kita telah menetapkan hala tuju yang jelas ke arah ketahanan iklim dan masa depan rendah karbon.
“Pelan Induk Pasaran Modal melengkapi usaha ini dengan memobilisasi modal bagi mengembangkan dan mengarahkan pelaburan ke sektor-sektor yang akan memacu pertumbuhan lestari.
“Dengan tadbir urus iklim yang lebih kukuh dan rangka kerja karbon yang mula terbentuk, sektor swasta kini mesti tampil ke hadapan dan memimpin peralihan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

















