PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus berusaha mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter walaupun harga minyak mentah dunia jenis Brent dilaporkan meningkat melepasi AS$100 setong, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, kenaikan harga minyak global memberi tekanan kepada banyak negara, namun Malaysia masih mampu mengekalkan harga bahan api pada kadar yang lebih rendah berbanding negara lain.
“Walaupun kita tahu ketimbang dengan negara-negara lain, keadaan kita masih terkawal. Harga minyak hari ini, harga Brent satu barel (tong) sudah naik AS$100,” katanya ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di sini hari ini.
Tambah Anwar, kerajaan akan menjalankan pelbagai ikhtiar bagi memastikan kenaikan harga minyak dunia tidak membebankan rakyat.
“Kita masih bertahan dengan RM1.99 bagi RON95 dan kita akan jalankan ikhtiar semaksimum mungkin supaya tidak membebankan rakyat,” ujarnya.
Dalam dagangan hari ini, penanda aras minyak AS, West Texas Intermediate (WTI), melonjak 20 peratus kepada AS$109.17 setong, paras yang tidak dilihat sejak Russian invasion of Ukraine pada Februari 2022.
Sementara itu, kontrak penanda aras antarabangsa Brent Crude meningkat 19 peratus kepada AS$110.35 setong.
Bagaimanapun, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyifatkan lonjakan harga tersebut sebagai “harga kecil yang perlu dibayar” bagi menamatkan ancaman nuklear Iran, sambil menegaskan kenaikan itu hanya bersifat sementara. – MalaysiaGazette
















