Barisan kepimpinan ATM dan SPRM dalam kunjungan hormat di ibu pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus meningkatkan kerjasama strategik menerusi pelbagai bidang khususnya dalam memperkukuhkan integriti serta tadbir urus pertahanan negara.

Komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT), Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Pertemuan sulung itu juga adalah bersempena pelantikan Malek Razak sebagai PAT ke-24 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.

Azam berkata, menerusi kerjasama itu, SPRM dan ATM juga akan memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) di antara Bahagian Perisikan SPRM dan Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO).

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut menyentuh pelaksanaan tatakelola dalam bidang pengurusan perolehan, tender dan sebut harga bagi tempoh enam bulan.

“Inisiatif ini dilihat sebagai pendekatan strategik bagi memastikan setiap proses dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti serta mematuhi peraturan dan tatakelola kewangan kerajaan.

“SPRM bersetuju untuk bekerjasama dengan ATM daripada aspek latihan pengurusan integriti dan penambahbaikan strategi antirasuah ATM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertemuan tersebut turut memfokuskan usaha pengukuhan kerjasama dalam aspek pengurusan media serta pemantapan mekanisme komunikasi bagi menyokong agenda pencegahan rasuah dalam ekosistem pertahanan.

Pada masa sama, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai beberapa isu teknikal serta peluang kerjasama dua hala antara SPRM dan ATM bagi mempertingkat kecekapan sistem penyampaian selain memperkukuh budaya integriti dalam institusi pertahanan negara.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dan Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Saharudin Harun dan Inspektor Jeneral Markas ATM, Laksamana Muda Shahriman Mahmud. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast