KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Prof Diraja Terpuji Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang meninggal dunia petang semalam.
Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh berharap agar segala urusan keluarga allahyarham dipermudahkan serta tabah di atas kehilangan insan yang tersayang.
“Profesor Diraja berusia 94 tahun ini banyak berjasa dan dikenali sebagai tokoh ilmuwan yang memperkenalkan konsep Islamisasi ilmu pengetahuan, yang memberi pengaruh besar dalam perkembangan pemikiran pendidikan Islam moden di peringkat antarabangsa.
“Sepanjang kerjayanya dalam dunia akademik, Allahyarham menghasilkan puluhan karya ilmiah dalam pelbagai bidang termasuk falsafah, sejarah, teologi, kesusasteraan dan tamadun Islam,” katanya menerusi Kesultanan Pahang hari ini.
Tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang dilahirkan pada tahun 1931 di Bogor, Jawa Barat, Indonesia itu, meninggal dunia pada pukul 6.47 petang.
Antara karya beliau yang berpengaruh ialah Islam and Secularism, The Concept of Education in Islam serta Prolegomena to the Metaphysics of Islam yang menjadi rujukan penting dalam kalangan sarjana di seluruh dunia.
Sumbangan besar Allahyarham dalam memartabatkan tradisi keilmuan Islam serta memperkukuh wacana intelektual Melayu-Islam menjadikan beliau antara tokoh pemikir paling berpengaruh di rantau ini. – MalaysiaGazette
















