Dr. A. Subash Chandrabose.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan digesa menilai semula pelantikan 11 Ahli Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tahun ini.

Pengarah Media dan Komunikasi Strategi, Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Pusat, Dr. A. Subash Chandrabose berkata, ia selepas tiada seorang pun wakil masyarakat India dalam lantikan tersebut.

Sambil melahirkan rasa kecewa, beliau turut mempersoalkan sama ada Kementerian Wilayah Persekutuan terlepas pandang berkenaan kepentingan kebajikan serta suara masyarakat India di ibu negara.

Ujarnya, dalam konteks pentadbiran bandar, representasi pelbagai kaum adalah penting bagi memastikan setiap isu masyarakat dapat difahami, dinilai dan ditangani secara menyeluruh.

“Bagi komuniti India khususnya, kehadiran sekurang-kurangnya seorang wakil dalam barisan Ahli Penasihat DBKL amat signifikan untuk menyuarakan serta memahami isu-isu yang melibatkan kebajikan, pembangunan komuniti dan keperluan setempat masyarakat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Subash Chandrabose yang juga Ketua DHPP Wilayah Persekutuan, amalan sebelum ini lazimnya memastikan adanya wakil daripada pelbagai kaum bagi mengekalkan keseimbangan dan keadilan dalam proses konsultasi serta nasihat kepada pihak DBKL.

Sehubungan itu, tegas beliau, ketiadaan langsung wakil masyarakat India dalam pelantikan kali ini menimbulkan persoalan serta kekecewaan dalam kalangan masyarakat, khususnya di Kuala Lumpur.

“Saya berharap pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dapat meneliti semula perkara ini dan mempertimbangkan pelantikan wakil daripada masyarakat India bagi memastikan prinsip keterangkuman, keseimbangan dan keadilan dalam pentadbiran bandar raya Kuala Lumpur terus terpelihara.

“Kuala Lumpur adalah milik semua rakyat Malaysia. Oleh itu, suara setiap komuniti harus diberi ruang dalam proses membuat keputusan demi pembangunan bandar raya yang inklusif dan sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast