Sebanyak 12 hospital di bawah rangkaian IHH Healthcare Malaysia tersenarai dalam penarafan Hospital Terbaik Dunia 2026.

GEORGE TOWN – Sebanyak 12 hospital di bawah rangkaian IHH Healthcare Malaysia tersenarai dalam penarafan Hospital Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek, sekali gus menandakan tahun ketiga berturut-turut kumpulan itu menerima pengiktirafan berkenaan.

IHH Healthcare Malaysia dalam kenyataaan memaklumkan, 12 daripada 18 hospital di bawah rangkaiannya disenaraikan dalam penarafan global itu yang menilai prestasi perubatan, pengalaman pesakit serta cadangan pakar.

“Dalam penarafan tahun ini, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur turut mencatat peningkatan kedudukan apabila naik ke tangga ke-193 dunia berbanding ke-204 pada tahun lalu dan ke-223 pada 2024.

“Hospital itu juga mengekalkan kedudukannya sebagai hospital swasta kedua tertinggi di Malaysia dalam penarafan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Dr. Kamal Amzan berkata, pengiktirafan itu mencerminkan kekuatan sistem yang menyokong penyampaian rawatan kepada pesakit.

“Kecemerlangan klinikal dibina melalui disiplin berterusan dengan pelaburan dalam tadbir urus, penilaian hasil rawatan secara teliti serta pengukuhan keselamatan pesakit di setiap peringkat perkhidmatan.

“Pendekatan konsisten ini membantu mengekalkan kepercayaan pesakit selain membolehkan kami terus menambah baik cara rawatan disampaikan di hospital di bawah rangkaian kami,” katanya.

Selain Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Prince Court Medical Centre, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Hospital Island dan Hospital Gleneagles Pulau Pinang turut tersenarai dalam kelompok 10 hospital terbaik di Malaysia, manakala Hospital Gleneagles Johor berada dalam kelompok 20 terbaik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast