HULU LANGAT – Seorang wanita warganegara Indonesia ditemukan lemas selepas terjun ke dalam Taman Tasik Lake Valley Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu jam 4.35 petang semalam.
“Seramai enam anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn; BBP Shah Alam dan BBP KLIA bergegas ke lokasi kejadian.
“Sepasukan 11 anggota dari Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pelabuhan Klang juga digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, tindakan nekad wanita berusia 30-an itu yang terjun ke dalam tasik berkenaan dipercayai kerana melarikan diri daripada pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia.
“Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Abd Rashid Abd Rahman memaklumkan, unit PPDA melakukan operasi SAR menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.
“Selaman yang bermula jam 10.10 malam dan menemukan mangsa jam 10.19 malam kira-kira enam meter dari tebing dan kedalaman tiga meter,” katanya.
Jelasnya, mangsa kemudiannya dibawa naik ke permukaan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kira-kira jam 11 malam.
“Mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya lagi, dalam operasi SAR itu, JPBM Selangor dibantu 22 anggota daripada pelbagai agensi.
“Antaranya PDRM (10), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (9), wakil Kedutaan Besar Republik Indonesia (2) serta seorang Rescue Bencana Malaysia (RBM),” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















