KUALA LUMPUR – Sebarang `gangguan’ terhadap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) adalah tidak boleh diterima dan mesti dihentikan segera.
Setiausaha Kehormat Martabat Untuk Semua Petaling Jaya (Martabat PJ), Elizabeth Chrisostom berkata, Bersih telah melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh mana-mana organisasi masyarakat sivil yang bertanggungjawab iaitu bersuara menentang penyalahgunaan kuasa dan mempertahankan akauntabiliti demokratik.
Namun, dakwanya, berbanding menangani kebimbangan yang dibangkitkan mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak berkuasa kelihatan lebih berminat untuk menyasarkan mereka yang berani mempersoalkannya.
“Ini adalah intimidasi yang jelas dan nyata.
“Malaysia tidak boleh mendakwa sebagai sebuah demokrasi yang sedang melakukan reformasi sementara suara masyarakat sivil ditekan, disiasat, dan diganggu kerana membangkitkan kebimbangan yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, Sekretariat Bersih menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kehadiran dua individu yang mengaku sebagai anggota polis di pejabat organisasi itu.
Katanya, maklumat mengenai kehadiran dua individu berkenaan diperoleh daripada rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berada di pejabat tersebut ketika kejadian berlaku.
Menurutnya, dua individu terbabit dikatakan datang ke pejabat berkenaan dan berbual dengan rakan NGO itu bagi mendapatkan maklumat mengenai keberadaan wakil Bersih.
Sementara itu, Elizabeth menambah, penggunaan agensi penguatkuasaan terhadap pengkritik adalah taktik yang rakyat Malaysia terlalu kenal daripada kerajaan terdahulu, dan satu yang dijanjikan oleh pentadbiran sekarang untuk dihentikan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan sama ada akan melindungi kebebasan demokratik, atau mengulangi buku panduan represif yang sama seperti dahulu.
“Kritikan bukan jenayah. Akauntabiliti bukan gangguan. Masyarakat sivil bukan musuh.
“Jangan usik Bersih. Hentikan intimidasi. Pertahankan demokrasi,” katanya. – MalaysiaGazette
















