Mohd Asna Amin

KUALA LUMPUR – Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mohd Asna Amin menegaskan kerjasama UMNO dengan DAP dalam kerajaan Perpaduan tidak boleh disamakan dengan gabungan politik yang pernah berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

Asna yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng berkata, kerjasama tersebut hanya melibatkan pentadbiran kerajaan bersama parti-parti lain dan bukannya gabungan rasmi untuk menghadapi PRU.

Jelasnya, gabungan ini tidak sama seperti yang pernah berlaku antara PAS, Bersatu dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) serta Pakatan Harapan (PH) ketika PRU sebelum ini.

“Asasnya perlu difahami Barisan Nasional (BN) hanya bekerjasama dalam kerajaan Perpaduan bersama PH dan parti-parti lain bagi memastikan kestabilan pentadbiran negara.

“Ia bukan gabungan pilihan raya seperti yang pernah dilakukan PAS dan Bersatu bersama DAP dalam PR dan PH sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan mantan pemimpin UMNO, Tan Sri Noh Omar yang dilaporkan hanya bersedia kembali kepada UMNO sekiranya parti itu memutuskan kerjasama dengan DAP.

Asna berkata kerajaan Perpaduan hari ini terdiri daripada gabungan 18 parti politik dan bukan sekadar kerajaan antara UMNO dan DAP seperti yang sering digambarkan oleh pihak tertentu.

Menurutnya, di bawah kepimpinan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pelbagai dasar dan inisiatif telah diperkenalkan bagi memperkasakan agenda Melayu dan Bumiputera.

Beliau berkata antara langkah yang dilaksanakan termasuk pembaharuan pendidikan Tabika KEMAS melalui program pra-tahfiz, TVET tahfiz serta pembangunan bilik darjah digital di kawasan luar bandar.

Selain itu katanya, kerajaan turut memperuntukkan RM2.6 bilion kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memperkukuh institusi pendidikan Islam serta RM200 juta untuk menaik taraf prasarana institusi tahfiz dan sekolah pondok.

“Kerajaan juga menyasarkan melahirkan seramai 125,000 huffaz profesional menjelang tahun 2050 melalui pelbagai program termasuk inisiatif ulul albab di universiti tempatan dan institusi di bawah MARA,” katanya.

Tambah beliau, peruntukan MARA turut ditingkatkan kepada RM6 bilion bagi memperkukuh pendidikan, ekonomi dan keusahawanan Bumiputera termasuklah seramai 4,698 pelajar Melayu dan Bumiputera sedang melanjutkan pengajian di 24 negara di seluruh dunia melalui pelbagai program tajaan kerajaan.

“Semua inisiatif ini jelas menunjukkan komitmen UMNO dalam memperkasakan agenda orang Melayu dan Bumiputera walaupun berada dalam kerajaan Perpaduan pada masa kini,” ujarnya.

Dalam masa sama, Asna berkata UMNO telah membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti itu tanpa sebarang syarat.

Bagaimanapun katanya, keputusan untuk kembali menyertai UMNO bergantung sepenuhnya kepada individu berkenaan.

“Terserah kepada Noh Omar untuk menentukan hala tuju politik beliau sendiri sekiranya ingin kembali semula ke dalam UMNO. Kita sentiasa terbuka kepada bekas ahli untuk kembali kepada ‘Rumah Bangsa’,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pemecatan Noh sebelum ini dibuat atas isu serius termasuk dakwaan sabotaj terhadap calon BN di Parlimen Tanjung Karang pada PRU-15 yang lalu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast