Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika membuat pusingan U secara haram di Jalan Tunku Abdul Rahman berhampiran Taman Ikhsan, Batu Berendam, Melaka, kira-kira jam 7.05 malam tadi.

MELAKA – Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta ketika dipercayai membuat pusingan U secara haram di Jalan Tunku Abdul Rahman berhampiran Taman Ikhsan, Batu Berendam, di sini awal malam tadi.

Nahas kira-kira jam 7.05 malam itu melibatkan lelaki tempatan berusia 31 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda C100 dan sebuah kereta Toyota Corolla Cross Hybrid dipandu lelaki tempatan berumur 66 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai penunggang e-hailing datang dari arah Peringgit.

“Mangsa kemudian dipercayai membuat pusingan U di hadapan simpang Taman Ikhsan dan pada masa sama kereta dipandu warga emas itu dipercayai tidak sempat mengelak.

“Pemandu itu kemudian melanggar bahagian sisi kiri motosikal berkenaan mengakibatkan mangsa terjatuh dan cedera parah di kepala serta badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat manakala kedua-dua kenderaan yang terlibat dibawa ke Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Alor Gajah bagi pemeriksaan teknikal.

“Pemeriksaan di lokasi kemalangan mendapati terdapat papan tanda larangan membuat pusingan ‘U’ di kawasan berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Muhammad Afeeq Abdul Latif di talian 014-9706108 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast