Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Tindakan ganas membakar kereta Cikgu Chandra adalah perbuatan melampau yang tidak boleh diterima dalam sebuah negara berteraskan undang-undang dan keamanan.

Lantaran itu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendesak pihak berkuasa supaya mengambil serius perkembangan ini serta melaksanakan siasatan dengan segera, telus dan menyeluruh.

Katanya, perbuatan tersebut sewajar dikutuk sekeras-kerasnya dan individu atau kumpulan yang terlibat mesti dikenal pasti serta dihadapkan ke muka pengadilan agar keadilan dapat ditegakkan.

Selain itu, tindakan tersebut perlu menjadi pengajaran kepada pihak lain agar tidak melakukan tindakan serupa, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setiap pihak hendaklah menghormati serta mematuhi undang-undang negara dan sebarang pertikaian atau ketidakpuasan hati mesti disalurkan melalui saluran undang-undang yang sah.

Tegasnya, tindakan ,engambil undang-undang di tangan sendiri hanya akan memburukkan keadaan serta membuka ruang kepada unsur provokasi dan ekstremisme.

“Perlu diingat bahawa apabila sesebuah negara mula bergolak dan keadaan menjadi huru-hara, akan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada kekacauan tersebut untuk mencapai agenda mereka.

“Keadaan seperti ini tidak boleh dibiarkan sehingga menjejaskan keselamatan awam serta kestabilan negara. Negara tidak boleh dibiarkan sampai ke tahap terpaksa diisytiharkan darurat.

“Sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal sehingga membawa kepada darurat, rakyat dan negara secara keseluruhannya akan menanggung kerugian yang besar dari segi kestabilan, ekonomi dan kehidupan masyarakat.

“Oleh itu, semua pihak perlu bertindak secara rasional dan bertanggungjawab demi memastikan keamanan negara terus terpelihara,” ujar beliau lagi. – MalaysiaGazette

Kereta Cikgu Chandra dibakar jam 3 pagi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast