A nurse showing the blood bag during the Blood Donation Campaign launch in conjunction with the 215th Police Day Celebration at the Kuala Lumpur Police Contingent Headquarters. PIX: MUHD NA'IM / MalaysiaGazette / 31 MARCH 2022
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Bekalan darah di Hospital Pulau Pinang (HPP) dilaporkan semakin berkurangan berikutan ibadah puasa sempena bulan Ramadan serta musim perayaan sekali gus menyebabkan jumlah penderma darah menurun walaupun permintaan bagi kegunaan pesakit terus meningkat dari semasa ke semasa.

Ketua Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Pulau Pinang, Dr. Norhaza Abdul Rahim berkata, orang ramai diminta tampil menderma darah bagi memastikan stok bekalan sentiasa berada pada tahap mencukupi, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan yang bakal tiba.

Katanya, bekalan darah amat diperlukan bagi menampung keperluan kes-kes kecemasan, pembedahan, pesakit kronik serta mereka yang memerlukan transfusi darah secara berkala.

“Tanpa pendermaan darah secara berterusan daripada orang ramai, stok sedia ada tidak mampu menampung permintaan yang semakin meningkat.

“Penderma daripada semua kumpulan darah dialu-alukan untuk hadir, terutama kumpulan darah O, A dan B yang sangat diperlukan ketika ini.

“Orang ramai digalakkan tampil beramai-ramai bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi demi menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Orang ramai yang ingin menderma boleh hadir ke Tabung Darah HPP mengikut waktu operasi ditetapkan sepanjang bulan Ramadhan iaitu Isnin hingga Khamis dari 7.30 pagi hingga 1.30 tengah hari serta 2 petang hingga 5 petang.

Bagi hari Jumaat, waktu operasi adalah dari 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 2.30 petang hingga 9.30 malam.

Sementara itu, orang ramai boleh merujuk jadual kempen derma darah bergerak yang dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi laman Facebook rasmi “Derma Darah Penang”. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast