MASALAH seperti papan tanda, penghadang dan lampu jalan yang rosak memang menjadi isu sejak dahulu lagi.
Bukan sekali dua, kes kemalangan termasuk melibatkan kematian yang asbabnya dikaikan dengan masalah yang diklasifikasi sebagai kerosakan perabot jalan.
Papan tanda rosak, penghadang tinggal separuh lampu tak bernyala dan jalan berlubang macam kena bom terutama di luar bandar menjadi trauma tak berkesudahan.
Hendak-hendak pula dalam suasana ramai pulang ke kampung pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.
Justeru kempen MY Jalan merupakan satu inisiatif proaktif diperkenalkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi menangani isu berkenaan.
Menyedari jalan raya nadi utama sistem pengangkutan negara, menghubungkan bandar dan pendalaman, memacu aktiviti ekonomi serta memastikan kesejahteraan rakyat – satu usaha bersepadu perlu dilakukan.
Masalah jalan berlubang, kerosakan bahu jalan, papan tanda rosak, lampu isyarat tidak berfungsi serta longkang tersumbat sering menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.
Oleh itu, pelaksanaan Kempen MY Jalan bukan sahaja bertujuan menyelesaikan aduan kerosakan dengan lebih sistematik malah menggalakkan penglibatan masyarakat secara aktif dalam memastikan infrastruktur jalan raya sentiasa berada dalam keadaan selamat dan berkualiti.

Orang ramai perlu menjadi mata dan telinga bagi menangani masalah yang sama bukan sekadar merungut di media sosial.
Sejak dilaksanakan pada Ogos 2023 hingga Januari 2026, sebanyak 54,055 aduan kerosakan jalan telah diterima melalui aplikasi MyJalan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 16,671 aduan atau 30.8 peratus melibatkan Jalan Persekutuan, lebuh raya dan jalan negeri di bawah seliaan KKR manakala selebihnya membabitkan jalan di bawah kementerian atau agensi lain.
Statistik itu jelas menunjukkan tahap kesedaran rakyat yang semakin meningkat untuk melaporkan kerosakan jalan secara terus kepada pihak berkuasa.
Di bawah seliaan KKR, sebanyak 15,160 aduan telah berjaya diselesaikan, manakala 1,511 aduan masih dalam siasatan.
Bagi aduan yang tidak berada di bawah kawal selia KKR, maklumat tersebut telah disalurkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut walaupun pemantauan kerja pemulihan bergantung kepada pihak berkenaan.
Berdasarkan perkembangan yang sama, satu pelan tindakan komprehensif perlu dirangka bagi memperkukuh keberkesanan Kempen MY Jalan.
Beberapa strategi utama iaitu memperkasakan teknologi pelaporan, mempercepatkan tempoh tindak balas, meningkatkan kerjasama antara agensi, memperluas kempen kesedaran awam dan memperkukuh pemantauan berkala boleh dicadangkan .
Pertama, daripada segi teknologi, aplikasi MyJalan perlu dipertingkatkan dengan fungsi penjejakan masa nyata (real-time tracking) yang membolehkan pengadu mengetahui status terkini aduan mereka.
Ciri notifikasi automatik dan maklum balas bergambar selepas kerja pembaikan diselesaikan juga dapat meningkatkan ketelusan.
Selain itu, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh dipertimbangkan bagi mengesan corak kerosakan berulang di kawasan tertentu supaya tindakan pencegahan dapat dilaksanakan lebih awal.
Kedua, aspek tempoh tindak balas, KKR boleh menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang lebih jelas mengikut kategori kerosakan.
Sebagai contoh, jalan berlubang yang berisiko tinggi perlu ditangani dalam tempoh 24 hingga 48 jam manakala kerosakan papan tanda atau perabot jalan lain boleh diselesaikan dalam tempoh yang lebih munasabah.
Kena ada tempoh had realistik bagi menanganinya barulah ia mendapat keyakinan ramai.
Selain itu, pelaksanaan sistem keutamaan berdasarkan tahap bahaya juga dilihat akan memastikan sumber diagihkan secara lebih berkesan.
Ketiga, kerjasama antara agensi perlu diperkukuh memandangkan sebahagian besar aduan melibatkan jalan di bawah bidang kuasa lain.
Penubuhan jawatankuasa penyelarasan antara kementerian dan pihak berkuasa tempatan dapat mempercepat proses penyaluran maklumat serta pemantauan kerja pembaikan.
Sistem pangkalan data bersepadu antara agensi juga boleh diwujudkan bagi mengelak pertindihan aduan dan memastikan setiap laporan ditangani tanpa kelewatan.
Keempat, aspek kesedaran awam harus terus dipergiatkan. Kempen MY Jalan bukan sekadar platform aduan tetapi satu gerakan nasional untuk memupuk rasa tanggungjawab bersama.
Program pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat boleh dijalankan bagi menerangkan kepentingan melaporkan kerosakan dengan segera.
Media sosial dan saluran digital juga boleh dimanfaatkan untuk menyebarkan maklumat berkaitan prosedur pelaporan dan kepentingan penyelenggaraan berkala.
Selain itu, pemantauan berkala dan audit kualiti kerja pembaikan perlu dilaksanakan bagi memastikan standard pembinaan dan penyelenggaraan dipatuhi.
Pemeriksaan berkala terhadap kontraktor yang dilantik jua boleh membantu mengurangkan masalah kerosakan berulang dalam tempoh singkat.
Penggunaan bahan binaan berkualiti tinggi dan teknologi turapan moden juga wajar diberi keutamaan bagi meningkatkan ketahanan jalan raya terhadap faktor cuaca negara ini dan beban trafik perlu diambilkira.
Dalam konteks kepimpinan negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menekankan kepentingan tadbir urus yang baik, ketelusan serta kebertanggungjawaban dalam penyampaian perkhidmatan awam.
Pendekatan itu selaras dengan aspirasi Kempen MY Jalan yang menuntut kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan infrastruktur negara berada pada tahap terbaik.
Sokongan padu daripada kepimpinan tertinggi negara memberi isyarat jelas bahawa isu keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya merupakan agenda penting dalam pembangunan negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi nampaknya memberi penekanan atas isu yang sama dengan mahu rungutan mengenai perkara yang sama berulang saban tahun.
Secara keseluruhannya, Kempen MY Jalan merupakan langkah progresif dalam mendepani cabaran penyelenggaraan jalan raya di Malaysia.
Dengan lebih 54,000 aduan diterima dalam tempoh kurang tiga tahun, jelas bahawa rakyat semakin prihatin dan bersedia memainkan peranan aktif.
Namun kejayaan jangka panjang kempen bergantung kepada kecekapan pengurusan aduan, kerjasama antara agensi serta komitmen berterusan kerajaan dalam menambah baik sistem sedia ada.
Kempen MY Jalan perlu diperkukuh melalui inovasi teknologi, penetapan KPI yang jelas, penyelarasan antara agensi, program kesedaran berterusan serta audit kualiti yang ketat.
Dengan pelaksanaan strategi berkenaan secara menyeluruh dan bersepadu, isu jalan berlubang dan kerosakan perabot jalan dapat diminimumkan, sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna serta imej sistem pengangkutan negara.
Akhirnya, kejayaan kempen akan mencerminkan komitmen bersama antara kerajaan dan rakyat dalam membina infrastruktur yang selamat, mampan dan berkualiti tinggi demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.
















