Rakaman yang menunjukkan seorang lelaki berusia lewat 30-an bertindak mematahkan cermin sisi sebuah kereta di Cheras dalam video yang tular di aplikasi TikTok.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia lewat 30-an direman tiga hari kerana disyaki mematahkan cermin sisi sebuah kereta di Cheras selepas video kejadian itu tular di di aplikasi TikTok.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.40 malam semalam selepas satu video dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok @cyberjayaviral yang memaparkan seorang individu mematahkan cermin sisi sebuah kenderaan.

Menurutnya, kejadian tersebut dipercayai berlaku di kawasan Cheras, Kuala Lumpur dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Bertindak atas laporan yang diterima, pada 11 Mac 2026 kira-kira jam 12.28 pagi, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan berbangsa Cina di sekitar kawasan Cheras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosdi berkata, suspek kemudiannya dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan reman dan mahkamah membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat  bagi membantu siasatan.

Beliau menambah, siasatan awal mendapati, motif kejadian dipercayai berpunca daripada kemarahan suspek selepas kenderaan jenis Perodua Alza milik mangsa dikatakan menghalang laluan keluar parkir.

Sementara itu dalam perkembangan lain Mohd Rosdi memaklumkan, dua lelaki yang masing-masing berusia 26 tahun dipercayai terlibat dengan kejadian samun kedai serbaneka di Taman Mutiara, Cheras berjaya diberkas dalam serbuan berasingan di Kajang dan Cheras.

Penahanan itu susulan laporan yang diterima sekitar pukul 4 pagi pada 22 Februari lalu, selain rampasan beberapa peralatan dipercayai digunakan dalam jenayah berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian samun di premis berkenaan sebelum sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menjalankan risikan dan operasi memburu suspek.

“Hasil tindakan pantas dan maklumat risikan, polis berjaya menahan dua suspek lelaki warga tempatan berusia lingkungan 26 tahun di dua lokasi berasingan sekitar Kajang dan Cheras.

“Turut dirampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa melakukan jenayah tersebut,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.

Tambahnya, hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek turut membantu polis menyelesaikan beberapa kes samun kedai serbaneka serta kes melarikan kenderaan yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur, Johor dan Selangor.

“Ketika ini kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan pertuduhan dalam masa terdekat,” katanya. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast