JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga asing ditemukan maut dengan 14 kesan tikaman seluruh tubuh di sebuah bilik hotel di Taman Maju Jaya di sini hari ini
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menemui mayat wanita berusia 37 tahun itu selepas menerima laporan pada pukul 5.30 pagi.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai maut antara pukul 1.30 pagi hingga 4.30 pagi. Terdapat 11 kesan tikaman di bahagian dada serta masing-masing satu kesan tikaman di leher, jari telunjuk dan lengan kanannya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek pembunuhan dipercayai seorang lelaki warga asing dan didapati melarikan diri selepas kejadian.
Menurutnya, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sekiranya disabitkan kesalahan, katanya, boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan hendaklah juga dikenakan 12 kali sebatan.
Raub meminta orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan kejadian boleh hubungi talian 07-2182323.- MalaysiaGazette
















