Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menyerahkan pek makanan kepada anggota Polis yang bertugas pada Program Ronda-Ronda Ihsan Food Bank di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1.16 juta isi rumah di seluruh negara  menerima manfaat daripada inisiatif Food Bank seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi tempoh empat tahun bermula 2020.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah sebenar penerima bagaimanapun dijangka jauh lebih tinggi berikutan terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut menggerakkan inisiatif serupa secara persendirian di seluruh negara.

“Kita mahu supaya program ini bukan hanya mendapat impak yang besar, tetapi dapat pastikan tidak ada golongan yang terpinggir atau tersasar, maka kita jemput semua NGO ini untuk bergerak sebagai rakan strategik bagi inisiatif food bank ini,” katanya dalam sidang media Program Ronda Ramadan Ihsan Food Bank (i-FB) di sini,  malam tadi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menyerahkan pek makanan kepada golongan gelandangan pada Program Ronda-Ronda Ihsan Food Bank di Pusat Transit Gelandangan Medan Tuanku, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 MAC 2026.

Tambah beliau, kerajaan kini memperkasa gerakan itu melalui inisiatif i-FB bagi menarik penglibatan lebih banyak rakan strategik termasuk industri, NGO dan institusi bagi memperluas pengagihan makanan kepada golongan memerlukan.

Ujarnya, usaha itu penting untuk menangani isu pembaziran makanan susulan data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang mendedahkan Malaysia menghasilkan kira-kira 17,000 tan metrik sisa makanan setiap hari.

“Daripada jumlah itu, dianggarkan 4,000 tan metrik sebenarnya masih boleh diselamatkan dan dimanfaatkan semula.

“Lebihan makanan yang berjaya diselamatkan bukan sahaja boleh disalurkan kepada golongan memerlukan, malah mengurangkan sisa yang berakhir di tapak pelupusan, sekali gus mengekang kesan terhadap alam sekitar seperti pelepasan gas metana,” jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya, KPDN turut menyediakan mesin retort kepada beberapa rakan strategik menerusi program Incubator i-FB bagi memproses lebihan menjadi makanan sedia dimakan yang lebih tahan lama.

“Setakat ini, sebanyak 14 mesin retort telah disalurkan kepada beberapa institusi termasuk hotel dan institusi pendidikan bagi melaksanakan projek rintis inisiatif berkenaan,” ujar beliau.

Petugas menyediakan makanan siap dimakan (RTE) yang disediakan di dapur Ihsan Food Bank pada Program Ronda-Ronda Ihsan Food Bank di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 MAC 2026.

Armizan menambah, KPDN juga sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi merangka mekanisme pengiktirafan kepada NGO dan pihak industri yang terlibat dalam i-FB.

“Langkah ini sebagai tanda menghargai komitmen pihak terlibat yang bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup rakyat, malah menyokong agenda kelestarian alam sekitar dan keselamatan makanan negara.

“Kita berharap mekanisme ini dapat diumumkan secepat mungkin dan selewat-lewatnya dimasukkan sebagai salah satu inisiatif untuk belanjawan tahun depan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast