KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah agensi berkaitan GLC, Nor Hizwan Ahmad, dilantik sebagai Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ampang susulan penstrukturan semula bahagian-bahagian parti itu di seluruh negara.
Pelantikan tersebut dibuat oleh kepimpinan parti di peringkat negeri dan nasional bagi mengemudi serta memperkukuhkan organisasi parti di kawasan Ampang.
Nor Hizwan yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merupakan anak jati yang dibesarkan di Ampang.
Beliau mempunyai pengalaman dalam bidang politik, korporat serta keusahawanan selain aktif dalam gerak kerja akar umbi di kawasan tersebut.
Ketika dihubungi, Nor Hizwan merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk memimpin bahagian berkenaan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pimpinan parti di peringkat negeri dan nasional atas kepercayaan ini.
“Saya berazam untuk mengukuhkan Bersatu di Ampang dengan menubuhkan lebih banyak cawangan, menggerakkan aktiviti masyarakat serta membina semula hubungan dengan parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) di kawasan Ampang,” katanya.
Menurut beliau, fokus utama gerak kerjanya selepas ini adalah memperkukuhkan politik kebajikan serta memperkasa ekonomi anak muda.
Katanya, usaha tersebut penting bagi membina komuniti yang mempunyai jati diri ekonomi yang kukuh agar mampu bersaing dan meneruskan kelangsungan hidup di kawasan bandar seperti Ampang.
Dalam pada itu, Nor Hizwan turut mengajak ahli-ahli Bersatu di Bahagian Ampang supaya bersama-sama menggerakkan parti secara lebih aktif bagi mengembalikan keyakinan rakyat.
“Kita perlu kembali meraih kepercayaan rakyat melalui kerja buat yang nyata, bukan retorik dan bukan terperangkap dalam politik sempit,” katanya. – MalaysiaGazette
















