KUALA LUMPUR – Seorang guru sekolah menengah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembekalan peralatan sukan berjumlah RM22,728, enam tahun lalu.
Sahnan Nuddin Abdul Razak, 47, yang juga guru penolong kanan kokurikulum, didakwa mengemukakan satu Invois New Sport One Enterprise dengan jumlah tuntutan RM22,728 mengandungi butiran palsu kepada seorang pengetua sekolah menengah dengan niat untuk memperdayakannya berhubung pembekalan peralatan sukan.
Menurut pertuduhan, peralatan itu ialah 80 unit pagar (hurdle), 44 unit vest larian dan 44 unit seluar trek yang dibuat New Sport One Enterprise, sedangkan kerja-kerja pembekalan tidak pernah dilaksanakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah menengah di Putrajaya pada 26 Mei 2020 mengikut Seksyen 18 Akta Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sahnan Nuddin turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu secara tidak jujur menggunakan sebagai tulen dokumen Invois New Sport One Enterprise berjumlah RM22,728 untuk kerja-kerja pembekalan peralatan sukan membabitkan barangan sukan sama, yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu pada tempat dan tarikh sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran sehingga kes selesai.
Peguam Jason Wee Chuan Yuan yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan seorang guru yang telah mengajar hampir 15 tahun selain menanggung kakaknya yang mempunyai masalah kesihatan.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 16 April untuk sebutan kes. – MalaysiaGazette
















