Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan hadir pada sidang media berkenaan penganjuran program mega komuniti dan warisan tradisi di Hulu Langat, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2026.

HULU LANGAT – Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Langat akan menganjurkan dua program mega komuniti iaitu Langek Kacau Dodol MADANI 2.0 dan Karnival Mantai Perdana 2026 pada 14 hingga 19 Mac ini sebagai usaha memperkukuh perpaduan masyarakat serta membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan pada harga lebih mampu milik menjelang musim perayaan.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, penganjuran kedua-dua program tersebut merupakan manifestasi agenda “Segalanya Untuk Rakyat” yang memberi tumpuan kepada kebersamaan komuniti serta kebajikan ekonomi penduduk di daerah itu.

Menurut beliau, program Langek Kacau Dodol Madani 2.0 akan berlangsung pada 14 Mac di Stadium Mini Pekan Batu 14, Hulu Langat dengan penyediaan sebanyak 101 kawah dodol secara serentak melibatkan penyertaan komuniti setempat, sukarelawan dan pelbagai agensi.

“Program ini menampilkan semangat gotong-royong luar biasa dalam kalangan masyarakat yang bersama-sama menyediakan dodol secara beramai-ramai, sekali gus memeriahkan sambutan menjelang musim perayaan,” katanya pada sidang media penganjuran program mega komuniti Langek Kacau Dodol
Madani 2.0 dan Karnival Mantai Perdana 2026 Parlimen Hulu Langat di sini, hari ini.

Sementara itu, Karnival Mantai Perdana 2026 akan diadakan selama lima hari bermula 16 hingga 19 Mac di Tapak Uptown Bandar Tasik Kesuma, Beranang.

Menurut Mohd Sany, karnival tersebut menawarkan jualan daging segar selama 101 jam tanpa henti bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan menjelang musim perayaan.

“Sebagai inisiatif membantu rakyat, diskaun RM10 sekilogram turut ditawarkan bagi empat tan daging terawal, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan bekalan pada harga lebih berpatutan,” jelasnya.

Beliau turut mengajak orang ramai hadir memeriahkan program berkenaan yang akan menampilkan pelbagai pengisian menarik mesra keluarga dan komuniti.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran kedua-dua program tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memperkukuh tiga teras utama kebajikan rakyat iaitu perpaduan sosial, pembangunan insan dan keterjaminan ekonomi.

“Tradisi 101 kawah dodol menjadi wadah mengukuhkan semangat gotong-royong dan kebersamaan masyarakat, manakala Karnival Mantai Perdana pula membantu rakyat mendapatkan bekalan daging segar pada harga mampu milik,” katanya.

Tambah beliau, usaha berterusan itu diharap dapat memastikan setiap warga Hulu Langat dapat menyambut musim perayaan dengan penuh kegembiraan, kebersamaan dan kesyukuran. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast