ALOR SETAR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menerima 108 aduan yang melibatkan pembakaran terbuka dari 1 Jan hingga 28 Feb lepas.
Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata tiga daerah, iaitu Sungai Petani, Kota Setar dan Kulim mencatatkan jumlah aduan pembakaran terbuka tertinggi berbanding daerah-daerah lain di negeri ini.
“Antara faktor utama pembakaran terbuka itu berlaku adalah disebabkan oleh tindakan tidak bertanggungjawab manusia sendiri. Tambahan sekarang dalam keadaan cuaca panas dan kering, boleh menyebabkan api merebak dengan pantas dan sukar dikawal.
“JAS hanya terima 108 aduan tetapi pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terima lebih 1,000 kes berkaitan pembakaran terbuka. Banyak aduan tidak sampai kepada pihak kita, jadi sukar untuk tindakan diambil,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama media, malam tadi.
Beliau berkata pihaknya akan meningkatkan rondaan pencegahan pembakaran terbuka bagi memastikan tiada pihak yang melakukan pembakaran terbuka kerana ia satu kesalahan serius di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Pembakaran terbuka ini boleh menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk berhampiran. Contohnya, kalau bakar sampah di kawasan sendiri tetapi asap masuk rumah penduduk yang tinggal berhampiran, ia mengganggu orang sekeliling.
“Pembakaran ini juga melibatkan sisa domestik dan ada juga yang membakar plastik dan tayar, yang akan mengeluarkan asap hitam serta gas tercemar. Sebab itu, JAS Kedah menjalinkan kerjasama strategik dengan JBPM bagi mengenal pasti kawasan yang berlaku pembakaran terbuka,” katanya.
Sharifah Zakiah berharap orang ramai dapat melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka menerusi talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau portal e-aduan di laman web rasminya. – BERNAMA
















