Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah unit kediaman di Jalan Gombak, di sini ketika dipercayai cuba melarikan diri semasa serbuan polis, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian berlaku ketika pihaknya menjalankan serbuan berkaitan kes curi motosikal di sebuah unit kediaman di lokasi itu sekitar pukul 9.07 malam.

“Ketika kejadian, dua suspek itu dipercayai cuba melarikan diri dengan bertindak terjun dari tingkat tiga bangunan berkenaan.

“Salah seorang daripada suspek lelaki berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia akibat terjatuh di tempat kejadian, manakala seorang lagi lelaki dilaporkan selamat.

“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam serbuan sama, katanya, polis merampas dua motosikal dipercayai dicuri selain beberapa jenis dadah yang ditemukan di kediaman tersebut.

“Kita turut menahan 12 individu terdiri daripada empat lelaki, lima wanita dan tiga kanak-kanak berusia antara tiga hingga 42 tahun dengan dua daripadanya adalah warga Indonesia.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan semua individu yang ditahan dalam kegiatan berkenaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran awam.

Selain itu, Fadil meminta orang awam tidak menularkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast