KUANTAN – Sebuah rumah dan sebuah kereta hangus dijilat api dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi tadi di Lot 42, Kampung Berembang, Kuala Lipis.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal berukuran 40 kaki X 40 kaki persegi dan sebuah Toyota Vios.
“Sejurus menerima panggilan, seramai enam anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Kuala Lipis) dibantu lima anggota daripada BBP Sungai Koyan bergegas ke lokasi.
“Operasi pemadaman dilakukan dengan satu aliran hos 100 kak, satu nozel dan satu aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba.
“Oleh kerana kawasan tersebut tiada pili bomba yang berdekatan, pasukan bomba terpaksa mengambil air dari kolam berhampiran menggunakan satu pam angkut dengan membentang satu aliran hos 400 kaki dan satu nozel,” katanya dalam kenyataan.
Meskipun kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira 30 minit, beliau berkata rumah dan kereta berkenaan hangus terbakar 100 peratus.
Bagaimanapun, Zulfadli memberitahu, tiada kemalangan jiwa direkodkan. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette
















