Dr Khairil Anwar Razali.

JOHOR BAHRU – Semua projek pusat data di negeri ini wajib melalui penilaian impak alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang lebih menyeluruh supaya selamat dan tidak memberi kesan terhadap sumber alam serta aspek kesihatan awam.

Bendahari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Ts Is Dr Khairil Anwar Razali berkata, usaha berkenaan memerlukan penyelarasan dasar antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi penguatkuasaan yang terbabit.

“Selain garis panduan teknikal seperti had Water Usage Effectiveness (WUE) dan penggunaan sumber air alternatif, mekanisme pemantauan yang telus serta penguatkuasaan yang konsisten perlu dipastikan agar kepentingan ekonomi tidak mengatasi keselamatan sumber semula jadi dan kesihatan rakyat.

“Bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan digital dan kelestarian sumber, Pejuang Johor mencadangkan agar satu Indeks Kesiapsiagaan Pusat Data dan Tekanan Air berasaskan ESG dibangunkan sebagai instrumen penilaian bagi semua projek pusat data baharu di negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, melalui pendekatan itu, Johor tidak perlu memilih antara kemajuan ekonomi digital atau keselamatan sumber air, sebaliknya mampu membangunkan model tadbir urus yang lebih mampan, berdaya tahan dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat dalam jangka panjang.

Beliau memberitahu, pembangunan pesat pusat data di Johor yang kini dianggarkan bernilai lebih RM15.3 bilion memperlihatkan negeri ini semakin menonjol sebagai hab digital utama di Malaysia.

Ujarnya, walaupun pelaburan itu dilihat mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh kedudukan Johor dalam ekosistem ekonomi digital serantau, Pejuang Johor berpandangan pembangunan tersebut perlu dilaksanakan dengan lebih berhati-hati agar tidak mengabaikan aspek keselamatan sumber air, kesejahteraan alam sekitar serta kesihatan rakyat.

“Isu bekalan air di Johor bukanlah perkara baharu. Beberapa insiden pencemaran Sungai Johor sebelum ini telah menjejaskan ratusan ribu pengguna dan mendedahkan kelemahan dalam pengurusan sumber air mentah,” katanya.

Dalam konteks itu, tambah beliau, pembangunan pusat data berskala besar yang memerlukan penggunaan air dan tenaga tinggi berpotensi menambah tekanan kepada sistem bekalan air sedia ada sekiranya tidak diurus secara teliti dan berasaskan perancangan jangka panjang.

Tambahnya, Pejuang Johor juga berpandangan bahawa manfaat ekonomi daripada pelaburan pusat data perlu dinilai secara lebih menyeluruh.

Jelasnya, walaupun nilai pelaburan yang diumumkan adalah besar, peluang pekerjaan yang diwujudkan lazimnya terhad kerana tahap automasi yang tinggi dalam operasi pusat data.

“Selain itu, sebahagian besar syarikat yang terlibat merupakan syarikat multinasional yang beroperasi dengan struktur cukai global, menyebabkan pulangan fiskal langsung kepada negeri dan negara mungkin tidak setimpal dengan kesan terhadap sumber alam,” katanya.

Khairil Anwar menambah, dalam masa sama, aspek kesihatan awam tidak boleh diketepikan kerana operasi pusat data lazimnya melibatkan penggunaan generator diesel sebagai sistem sokongan tenaga yang berpotensi menghasilkan pelepasan nitrogen oksida (NOx) dan pencemaran udara.

“Sekiranya pembangunan industri ini terlalu hampir dengan kawasan perumahan tanpa zon pemampan yang jelas, ia boleh menimbulkan risiko kesihatan kepada komuniti setempat dalam jangka panjang,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast