KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang RM50,000 daripada anak lelaki Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Khuzairi Yahaya, 54, yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pendaftaran dan Perkhidmatan Perniagaan SSM, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Tertuduh didakwa menerima untuk dirinya wang tunai RM50,000 daripada Faisal Hamzah tanpa balasan yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.
Kesalahan didakwa dilakukan pada bulan Mei 2018, di Ibu Pejabat SSM@Sentral, No. 7, Jalan Stesen 5, Kuala Lumpur Sentral, di sini.
Khuzairi didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin manakala pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Tertuduh turut diarah melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan dengan kediaman pada Isnin pertama setiap bulan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd. Zamry mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat-syarat tambahan atas alasan tertuduh berkemungkinan melarikan diri.
Peguam Muhammad Aizat Fakri yang mewakilinya memaklumkan, pihak pembelaan tiada bantahan terhadap jaminan dan syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 20 April ini untuk sebutan bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















