SHAH ALAM – Sehingga Khamis, hanya 74,552 atau kira-kira 15 peratus sahaja kenderaan perdagangan sudah membuat pemakluman pemasangan Alat Penghad Kelajuan.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, baki 85 peratus atau 439,127 daripada keseluruhan 513,679 kenderaan perdagangan masih belum berbuat demikian.
“Jumlah tersebut melibatkan 495,827 kenderaan barangan (berat maksimum melebihi 3,500 kilogram serta 17,852 buah bas yang mempunyai kapasiti membawa lebih lapan penumpang (berat maksimum melebihi 5,000 kg,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di sidang media sempena Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 dan Speed Limiter Device (SLD) di Terminal Bas Seksyen 17, di sini malam ini.

Terdahulu katanya, sepanjang Opersai Khas Penguatkuasaan SLD sejak 1 Oktober tahun lalu hingga 12 Mac lalu, 8,924 kenderaan perdagangan dikenakan tindakan Temu Siasat 114 atas pelbagai kesalahan berkaitan pematuhan serta kefungsian peranti had kelajuan berkenaan.
“Jumlah keseluruhan, 111,743 kenderaan perdagangan telah diperiksa,” tambahnya.
Sementara itu, Aedy Fadly menyeru semua pengendali syarikat pengangkutan dan pemilik kenderaan perdagangan supaya memastikan kenderaan masing-masing mematuhi keperluan pemasangan SLD. -MalaysiaGazette
















