Bersatu mengadakan majlis Iftar Bersatu hari ini bertujuan merapatkan silaturahim antara pemimpin dan ahlinya

ISKANDAR PUTERI – Terdapat bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang cuba menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti secara tidak beradab dan melampau.

Bersatu Bahagian Iskandar Puteri mendakwa, tindakan tersebut dilakukan dengan menimbulkan huru-hara dalam parti walaupun bekas pemimpin berkenaan sebelum ini disambut baik semasa mula masuk dan menjadi keluarga parti tersebut.

“Tetapi pada hari ini ada yang membuat kacau bilau serta sampai cuba menghalau ‘tuan rumah kami’ dengan tidak beradab serta melampau. Ini rumah kami. Perjuangan kami.

“Kepada mereka yang telah memilih meninggalkan parti Bersatu, itu adalah hak mereka serta pilihan mereka.

“Kami menghormati keputusan mereka dan kami cuma berpesan kepada mereka yang telah memilih meninggalkan parti Bersatu, janganlah sesekali mempersoalkan parti yang pernah kamu perjuangkan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut kenyataan itu lagi, parti berkenaan masih teguh dan akan terus mara di bawah pimpinan Muhyiddin tetapi dalam masa sama tetap mendoakan urusan bekas pemimpin dan ahli yang telah meninggalkan Bersatu dipermudahkan.

Tambahnya, Bersatu tidak wujud dalam keadaan yang senang dan ada yang masih bersama-sama sejak awal ditubuhkan dengan susah payah, pengorbanan serta keringat dengan penuh kesetiaan.

“Ketika baru mula diperkenalkan serba kekurangan, kami lah yang turun menambah ahli Bersatu dengan penuh kekuatan.

“Apabila ada yang datang untuk bersama Bersatu. Kami sambut dengan penuh mesra serta adab tetap kami tidak lupakan. Kemudian kami kongsi rumah yang kami bina ini,” tambah kenyataan itu.

Justeru, Bersatu Bahagian Iskandar Puteri menafikan bahawa parti tersebut sudah bubar dan ‘berkecai’.

Pada 18 Februari lalu, 11 Ketua Bahagian Bersatu Johor mengumumkan perletakan jawatan beramai-ramai kerana kecewa dengan konflik dalaman yang melanda parti itu.

Jurucakap mereka, Datuk Isa Abdul Hamid berkata, susulan keputusan berkenaan kepimpinan bahagian terbabit juga terbubar dan tidak lagi boleh menjalankan apa-apa kegiatan berkaitan parti.

Bekas Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Datuk Isa Abdul Hamid berkata, 11 ketua bahagian itu membabitkan Simpang Renggam, Sembrong, Mersing, Ledang, Pontian, Labis, Pengerang, Johor Bahru, Tanjung Piai, Sri Gading dan Pulai.

Jelas Isa lagi, pihaknya merasakan parti itu semakin rosak dan hancur akibat daripada krisis kepimpinan yang berlarutan tanpa ada penyelesaian tuntas hingga kini.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast