Siti Norma Yaakob.

KUALA LUMPUR – Bekas Hakim Besar Malaya wanita pertama, Tan Sri Siti Norma Yaakob, 85, meninggal dunia pukul 1.51 petang tadi.

Berita pemergian bekas hakim mahkamah atasan itu dikongsikan melalui kumpulan WhatsApp Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) kepada pihak media hari ini.

Sementara itu, anaknya Meor Amri Meor Ayob, 56, memberitahu Bernama, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di KPJ Hospital Pakar Ampang Puteri dekat sini akibat pneumonia.

Menurut maklumat yang dikongsikan oleh PKPMP, Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selesai solat Asar.

Allahyarham Siti Norma yang dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan pada 6 Julai 1940 merupakan hakim wanita pertama yang memecah dominasi hakim lelaki di mahkamah tertinggi negara.

Tokoh kehakiman wanita terulung itu merupakan hakim wanita pertama mencipta sejarah memegang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi (1983), Hakim Mahkamah Rayuan (1994), dan Hakim Mahkamah Persekutuan (2001).

Siti Norma kemudian dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada 8 Februari 2005 iaitu jawatan nombor tiga tertinggi dalam hierarki kehakiman selepas Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Allahyarham bersara pada 5 Januari 2007 selepas menabur bakti dalam badan kehakiman negara selama 43 tahun.

Pada 4 September 2007, beliau dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaya (UM).

Beliau turut menganggotai lembaga pengarah beberapa syarikat awam termasuk KAF Investment Bank Berhad, RAM Holdings Berhad dan RAM Rating Services Berhad.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia serta Pengarah RAM Rating (Lanka) Limited.

Sejak September 2008, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, selain mempengerusikan Lembaga Jawatankuasa Disiplin serta menganggotai Lembaga Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan serta Lembaga Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran.

Siti Norma mendapat pendidikan dalam bidang undang-undang pada 1962 dan menyertai badan kehakiman sebagai Penolong Pendaftar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Allahyarham juga memegang beberapa jawatan penting antaranya Peguam Kanan Persekutuan, Penolong Pengarah Kanan di Jabatan Hasil Dalam Neger dan, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Siti Norma mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Rahang (1945-1946) sebelum berpindah ke Convent of the Holy Jesus hingga Tingkatan Lima (1947-1957).

Pada tahun 1958, beliau bersekolah di King George V, Seremban sebelum menyambung pengajiannya dan memperoleh Barrister-at Law dari Gray’s Inn, London pada tahun 1962. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast