Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal (tengah) bergambar bersama pengarah, Faizal Noar pada Pelancaran Filem Pendek Farm Fresh berjudul 'Bersama SeMoola' di Serdang. Foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2026.

SERDANG – Sempena sambutan Aidilfitri ini, Farm Fresh tampil dengan kelainan menerusi iklan raya pendek terbaru berjudul Bersama Semoola berteraskan persahabatan, pertemuan semula, minat dan keberanian untuk bermula kembali.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal berkata, filem muzikal pendek berdurasi 12 minit itu turut menggabungkan jenaka dan emosi dalam sebuah kisah perayaan yang menghiburkan dan menyentuh hati.

“Tahun ini Farm Fresh membawa satu lagi karya yang lain dari yang lain di mana filem pendek kami, Bersama Semoola ingin mengangkat kisah ringkas tentang persahabatan, keluarga dan bagaimana muzik itu mempunyai cara tersendiri untuk menyatukan kenangan lama melalui filem pendek kami dan lagu runut bunyi asal (OST) yang telah dimainkan di radio dan Spotify.

“Kempen ini mencatat satu pencapaian penting sebagai iklan raya pertama Farm Fresh yang menampilkan dengan OST yang dipersembahkan oleh Margasatwa di mana lagu ini merupakan lagu raya pertama dalam diskografi mereka, lengkap dengan video muzik khas,” katanya pada majlis pelancaran iklan raya Farm Fresh di sini semalam.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal berucap pada Pelancaran Filem Pendek Farm Fresh berjudul ‘Bersama SeMoola’ di Serdang. Foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2026.

Bersama Semoola dibintangi oleh Khir Rahman bersama Dboy Hamdan, Monrasli Aswad serta Azmi yang turut memegang peranan penting di layar sebagai salah seorang anggota kumpulan empat sekawan yang menjadi tunjang cerita.

Ia mengisahkan empat bekas anggota band era 70-an yang cuba membuat kemunculan semula dengan lagu raya baharu.

Melalui gelak tawa, muzik dan emosi yang belum terlerai, mereka mengeratkan kembali hubungan dan menemui semula keberanian untuk bermula semula.

Iklan raya itu diarahkan oleh Faizal Noar dengan keserasian pelakon yang terasa semula jadi dan hangat di layar.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, filem itu meraikan kebersamaan, keluarga dan kekuatan untuk mengeratkan kembali hubungan, disulami dengan hubungan ayah dan anak perempuannya.

Katanya, walaupun banyak filem perayaan menumpukan kepada dinamika keluarga tradisional, Bersama Semoola memberi tumpuan kepada persahabatan yang akhirnya menjadi keluarga.

filem muzikal pendek berdurasi 12 minit itu turut menggabungkan jenaka dan emosi.

“Ia turut mengetengahkan watak berusia sebagai teras penceritaan membuktikan bahawa minat dan semangat tidak pernah luput, malah sentiasa boleh dinyalakan kembali.

“Diinspirasikan daripada humor dan keunikan karya Mamat Khalid menerusi Rock Ooo, filem ini menggabungkan elemen nostalgia dengan gaya muzikal sinematik,” katanya yang yakin melangkah ke dunia lakonan bersama barisan pelakon yang dikaguminya.

Sementara itu, OST ciptaan Margasatwa bersama Megat Fazly mengambil ilham daripada lagu-lagu raya malar segar yang kekal relevan merentasi generasi di mana mudah melekat menangkap keceriaan raya serta keterujaan menerima duit raya.

Bersama Semoola kini mula disiarkan di YouTube, TikTok, Instagram dan Facebook di mana orang ramai turut dijemput untuk menyertai kemeriahan dengan menghasilkan cover lagu itu sebagai satu momen kebersamaan komuniti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast